Monday, December 29, 2008

ANAK GADIS AYAH DAN MPR 2008


AYAH

Sabarnya adalah hijau
di gurun sahara
Putih kapas salju
di laman khatulistiwa
biru tenang
di beku antartika

Sabarnya adalah
pelangi yang muncul
di perit bahang suria
seusai gerimis tiba
sebentar cuma

-Waja-
1515 271208

Sajak ini terdetik spontan dalam hati saya ketika dalam perjalanan untuk makan kenduri, semalam . Memang ketika itu ayah amat berang sekali. Sepatutnya untuk ayah marah ketika itu kerana saya. Boleh sahaja ayah memecut kereta wajanya dan meinggalkan saya terkapai-kapai di rumah. Ataupun ayah menjerit terlolong dari bawah aras rumah mengelui saya ketika itu.
Aduhai kasihan ayah! Kerana terpaksa banyak bersabar dengan perawan gadis ini. Kasihan juga ayah kerana ini bukanlah yang pertama kali saya lewat. Lambat! Cemerkap! Ketinggalan!. Lewatnya saya kerana saya lahir lewat dalam keluarga. Puteri bongsu ayah. Lewatnya saya kerana sayalah yang paling akhir meninggalkan alam persekolahan. Lewatnya saya kerana saya selalu menjadi yang terakhir keluar dari rumah. Walaupun saya sudah seterika baju awal, mandi awal, dan bersiap awal. Saya tetap menjadi yang terakhir!
”Adik memang lambat. Siap lambat. Berjalan lambat. Nak tutup pintu pagar pun lambat. Terhegeh-hegeh!” kak teh merungut-rungut ketika di dalam Waja Ayah. Mungkin kerana lama menunggu di dalam kereta.
”Patutlah masa bersalin adik lambat keluar. Nak bersiap rupanya. Sampai besarpun lambat jugak.” Ibu menyampuk. Mungkin mengenangkan waktu ketika saya bersalin. Ini bukan yang pertama ibu menyampaikan cerita itu. Sudah berbuih rasanya. Itulah yang disampaikan setiap kali saya menjadi penerima pingat paling lambat bersiap dalam keluarga.
”Nanti kahwin pun lambat jugaklah ye. Oklah tu. Kejar cita-cita dulu sebelum cinta, kan yah?’ Saya menambah. Senyum. Sengaja saya bercakap hampir di telinga ayah yang memandu. Saya tahu ayah senyum
”Siapa nak dekat adik? Lambat!” Kak teh menambah.
”Takpelah nanti ayah carilah. Kena cari orang yang sabar ye ayah. Hehehehe…” saya menambah lagi. Kak teh saya begitulah. Kuat sungguh mengusik satu-satunya adik perempuannya ini.


Saya tidak tahu mengapa. Mungkin itulah salah satu tabiat buruk saya. Kelemahan yang perlu saya tampal dengan perubahan. Kasihan betul saya pada ayah ketika itu. Saya tahu ayah marah! Ayah diam. Marah ayah diam. Jadi kalau diam, saya tahu ayah marah. Tapi marah ayah tak lama kerana saya tahu ubat ayah. Ubat ayah adalah senyuman saya. Ubat ayah adalah pujukan saya.
Alhamdulillah, hamdallah adalah yang pertama yang lontar tatkala melihat ayah dapat menerima kelewatan saya semalam yang entahlah kali yang keberapa. Kerana mungkin ayah sudah masak dengan perangai saya itu. Ataupun mungkin kerana saya sebenarnya bertuah mempunyai ayah yang penyabar. Siapkah yang lebih bersabar dengan karenah saya selain ayah saya. Sehingga saya pernah merasakan tiada siapa yang tahan dengan keletah dan perangai saya yang tidak molek-molek ini.
Dan semalam saya menerima ceramah akhir tahun 1429 hijrah daripada ayah. Ayah yang selalunya lama diam dan hanya mendengar perbahasan saya dan kakteh dari cermin pandang belakang tiba-tiba, melontarkan kata-katanya. Aduhai ada hikmah dalam lembut bicara ayah. Bukan ceramah yang disampaikan. Cuma ayat ”Berubahlah!” yang membuatkan saya tergamam dan fikiran saya ligat menghadam susunan aksara tersebut.
Mendalamnya! Dan semalam sepanjang perjalanan makan kenduri dan sehingga kini kata-katanya mengikuti setiap tindak tanduk dan tingkah saya. Ya! Mungkin sudah tiba masanya saya berubah. Berubah bukan semata-mata kedatangan Awal Muharam. Berubah bukan juga kerana tahun baru Masihi akan menjelma ataupun berubah kerana terpaksa. Berubahnya saya di nawaitu hanya kerana allah( insyaallah) dan segala yang berlaku merupakan wasilah yang hadir untuk saya sedar perlunya perubahan pada diri saya yang masih banyak perlu diperbaiki perangai dan tatasusila seorang anak gadis ayah.

Kata Nurul : Siapalah ’taufik’ yang sabar melayan karenah dan telatah
’hidayah’ ayah!

===============================





MINGGU PENULIS REMAJA 2008-
SATU WADAH SATU WASILAH

Apabila mengingatan tentang sabar sebenarnya saya sudah menulis entri bercerita perihal sepanjang keterujaan saya di MINGGU PENULIS REMAJA 2008. Bukan sekali tapi tiga kali berturut-turut. Semuanya menguji kesabaran saya kerana setelah mengetuk papan keyboard laptop yang panas menggigit jari jemari saya ( kerana laptop ayah tiada cooler) tiba-tiba semuanya hilang dalam satu saat. Aduhai! Kali kedua kerana kesalahan sendiri meninggalkannya dengan mudah tanpa mengira mujahid dan mujahidah kecil yang berperang di ruang tamu Teratak Bahagia. Sudahnya hilang juga entri yang belum ditekan punat POST SHOUTOUT. Kesabaran saya akhinya rebah pada kali ketiga kerana kesalahan sendiri. Tambahan pula gambar-gambar yang telah tersedia yang dirim Kak Dea lewat email yang memenuhi kantung inbox saya. Aduhai…
Saya memang perlu lebih bermujahadah dalam menyemai benih SABAR. Biarpun ramai yang mengatakan saya sebenarnya PENYABAR terutama di kalangan teman2) hakikatnya ketika di rumah saya bukanlah seperti apa yang disangka. Saya kira kesabaran saya tidaklah setinggi puncak gunung menggapai awan lembut yang putih kerana apabila tiba saatnya gunung yang terpasak diam di bumi itu sebenarnya tersimpan lahar panas yang menggelegak menunggu masa untuk diluahkan sahaja.
Dan apabila terfikikan keadaan seperti itu saya tahu ayah juga seperti saya. Cuma sabar saya tidak seperti sabar ayah!

MPR 2008- tak terkata! Ada KENANGAN yang dicipta dan PENGALAMAN yang tercipta. MPR 2008- belajar mencari benang termahal menyulam bait kata yang termahal…

3 comments:

Raden Qurratu 'Aini said...

kak nurul

^ ^ rindu~ meh tembus media!!!


boleh mintak gambar.. e-mail kat ain: qurrah[at]gmail[dot]com

Rahimidin Z said...

Salam,
Nurul, mana sajak baru?

Wan Nor Azriq said...

Salam kenalan,

Selamat menjadi warga MPR.
Susah nak cari penulis dari Alor Star.Yang sekali dengan saya dulu tak ada pulak yang dari Alor Star :)