Wednesday, December 3, 2008

MENCARI ASYURA...

-ana titipkan cerpen ini buat sahabat yang dinanti-
-NUR ASYURA BINTI JUMAT-

Bismillahirrahmanirrahim….
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Selawat dan salam ana panjatkan buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, sahabat-sahabat baginda dan juga keluarganya.
Assalammualaikum warahmatullahhiwabarakatuh…
Buat ukhti habibati asyura,

Akal wanita senipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati wanita serapuh kaca, kuatkan dengan iman, perasaanya selembut sutera hiasilah dengan akhlak.

Ana membuka warkah ini dengan kata-kata yang diutusi enti lewat perkenalan kita yang pertama via sistem pesanan ringkas. Masihkah enti ingat? Mungkin juga ia sudah luput dari sistem memori enti. Namun tak mengapa yang pasti itu bukan pembukaan pertama perkenalan kita. Kerana ana pasti enti lebih tahu dimana pertama kali kita bertemu, melemparkan senyuman dan memulakan bicara.

Saat waktu perkenalan kita di hari-hari pertama di kolej itu. Ketika kita terkejar-kejar dengan masa yang terhad dalam minggu orientasi. Ana hanya memerhati tingkah enti dari jauh. Lembut dan murah dengan senyuman. Manis.

Masihkah enti ingat dengan pemakaian tudung orientasi yang diwajibkan untuk semua pelajar itu. Pendek dan jarang. Dan saat ana tercari-cari rafik yang memakai tudung fesyen dua lapis seperti yang ana pakaikan, enti muncul ditengah-tengah antara mereka. Mungkin kerana itu ana senang dengan senyuman enti. Cuma masa tidak mengizinkan ana mendekati enti. Tambahan pula kita bukan dalan Blok Kediaman yang sama.

Perkenalan pertama kita singkat. Betul kata enti amalkan 3S. dalam kehidupan. Senyum, Sapa dan Salam. Itu yang enti dan Mastura gunakan saat masa-masa terluang ketika di kafeteria kolej. Dengan salam yang lunak dan sapaan mesra enti, terasa sudah lama kita berkenalan. Cepat benar kemesraan terjalin. Terasa seluruh urat saraf ana mengalir rasa persahabatan. Sehingga kita boleh berkongsi perasaan dan pendapat yang sama ketika hari-hari orientasi.

Dan selepas perkenalan pertama itu kita dihambat dengan hari-hari orientasi yang pelbagai ragam. Kita disogokkan dengan pelbagai aktiviti yang amat padat. Bermula dari sessi ldk, mentor mentee sehinggalah aktiviti-aktiviti yang amat janggal bagi ana. Rupanya begini menjadi seorang pelajar kolej. Dengan jerit, sorak sorai pelajar. Ana hanya memerhati dengan gelagat yang pelbagai. Betapa tiba-tiba ana jadi sedih sendiri. Berkali-kali ana berbisik, berdoa dalam hati agar hari-hari dalam minggu itu agar segera berlalu. Sedih dalam situasi yang mendesak itu, sedih kerana inilah pilihan ana bagi meneruskan pengajian, sedih lagi mengenangkan dengan suasana yang jauh bezanya dengan taman islami tercinta yang ana tinggalkan.

Waktu itulah ana mula sedar, inilah kehidupan enti. Selama ini ana berada di madrasah dan dilingkungi suasana yang bersih dan damai. Dikanan ana ustaz dan dikiri ustazah. Tiap-tiap hari makanan rohani dihidangkan. Pesanan-pesanan dan nasihat-nasihat di hadam. Ana nakal dahul enti. Ah! Ana juga pernah ceritakan kisah ana sewaktu di madrasah dahulu. Ana tak menghargai segala nasihat yang diberikan. Ketika itu cukuplah ana berada di tengah-tengah warga madrasah. Kerana ana tahu akan ada mereka-mereka yang memerhatikan tingkah ana. Ada sahabat-sahabat yang menegur jika adanya kekhilafan yang dilakukan. Adanya perngatan-peringatan buat ana saban hari. Pernah ana terfikir betapa indahnya berada di dunia luar. Bebas dan tidak perlu menjaga adab dan tingkah. Tidak perlukan peraturan dan segala banyak kekangan.

Ternyata ana silap. Rupa-rupanya dunia luar dari madrasah itu adalah palsu belaka. Kebebasan yang ana cerna mengikut penilaian nafsu dahulunya kini berada di hadapan mata. Lalu ana merindukan sahabat-sahabat dan bi’ah solehah yang dijana dalam diri ana dahulunya. Ana rindukan suasana pengajian yang dahulu. Saat ana sedar bahawa masa-masa yang berjalan, ana sedar bahawa beginilah kehidupan dengan pelbagai ragam. Lalu ana lalui hari-hari disini dengan bekalan-bekalan ingatan dan titipan-titipan doa yang dikirimkan sudah tentu dari ummi dan walid.
Betapa besarnya pertemuan yang allah ciptakan buat kita. Saat nama ana dipanggil oleh salah seorang fasilitator bertugas dan di tempatkan dalam bilik gerakan pelajar, ana hanya mampu berzikir. Apakah salah ana disini? Namun tatkala terpandang wajah pelajar-pelajar lain yang turut terpanggil, ana rasa nyaman dan bahagia apabila wajah enti berada sebarisan dengan mereka.

Kita berada dalam saf yang sama. Saf kepimpinan pelajar. Ketika itu Saf Kepimpinan Pelajar hanyalah bayangan sebelum sistem pilihan raya diadakan. Betapa ana begitu takut pada jawatan yang disandang. Takut pada amanah yang bakal dipikul. Dan takut pada pembahagian masa yang terhad. Ana tidak biasa dengan keadaan ini. Bekerjasama dengan kaum adam itu adalah pokok utama. Berkali-kali enti cuba menenangkan. Solat sunat istikharah adalah peneman malam-malam kita sebelum hari penamaan calon. Ujar enti inilah perjuangan . Sebagai seorang bakal pemimpin dan khalifah di muka bumi Allah. Juga sebagai salah seorang da’ie. Ya, Pendakwah!
Bukan ana tidak mengetahui dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W, bermaksud, apabila kamu menyebut tiada tuhan yang disembah selain daripada Allah maka dialah dai’e

Terbukti sewaktu nama ana naik sebagai pemegang salah satu jawatan di bilik gerakan itu ana jadi takut sendiri. Alhamdulillah enti juga berdiri sebarisan dengan ana dan juga Mastura. Dan saat itu enti sentiasa menghulurkan bantuan. Menjadi peneman disisi ana selain Mastura setiap kali adanya perjumpaan-perjumpaan bersama di pihak muslimin.

“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan sebahagian mereka menjadi pelindung bagi lainnya. Mereka menyuruh berbuat yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan aat kepada Allah dan Rasul-Nya.Merek akan di beri rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Mahaperkasa, Maha bijaksana.” Surah at-taubah ayat 71

Tafsir bacaan surah taubat itu dibaca pada suatu petang . Kita bukan berdua sahaja ketika itu asyura. Masih ada Aimi, Ulya, Intan dan juga Mastura. Mastura. Ana tahu selain ana, enti juga amat rapat bersama Mastura. Mastura itu lebih dahulu hadir dalam hidup enti berbanding ana. Namun kita bertiga amat rapat. Seperti belangkas lagaknya. Dimana ada enti, disitu ada ana dan Mastura. Namun kita masih berenam, menyimpulkan sebuah hati dan nurani dengan ikatan aqidah dan itulah ukhwah. Ana gembira bertemu dengan sahabat-sahabat seperti kalian. Punya banyak cerita, pengalaman, tazkirah dan segala macam peringatan.

Kita mulakan talian ukhwah dengan semangat membara. Bukankah ukhwah adalah saudaranya keimanan sedangkan perpecahan adalah saudara kembarnya kekufuran. Pada pertemuan-pertemuan yang sentiasa diaturkan. Dimulakan dengan al-fatihah dan diakhiri dengan tasbih kifarah dan surah al-asr itu, pertemuan kita biarpun singkat tapi penuh dengan rasa mahabbah. Namun tidak berhenti setakat disitu sahaja usroh kita. Kerana tautan hati yang bertaut sesekali melemparkan senyuman ketika terkejar-kejar kedewan kuliah adalah saat paling bahagia buat kita selaku sahabat Bukankah begitu saudaraku asyura?

Sesekali enti dan Mastura bermalam di bilik ana. Kita sama-sama menelaah dan mengulangkaji pelajaran. Ilmu yang sedikit di dada kita kongsi bersama. Perbincangan kita melewati hal-hal pelajaran sehinggalah masalah-masalah di kolej. Kadang-kadang sudah menjadi kemestian pula giliran bermalam berputar, di bilik enti dan kadang-kadang di bilik Mastura. Jika sempat kita akan menziarahi Aimi, Ulya dan Intan yang mendiami Kediaman Blok C.

Kekadang tak semua perjalanan kita berlalu dengan mudah di kolej. Ada masa-masanya kita berperang dengan perasaan sendiri. Perasaan yang menyucuk-nyucuk dan menyiat-nyiat dengan pelbagai peristiwa. Mungkin kita kumpul-kumpulkan menjadi lahar panas yang membuak. Kesabaran kita akhirnya tumpah jua. Mungkin pada perasaan rindu pada keluarga, tekanan kerja dan program serta tutorial dan kertas tugasan yang bertimbun menyebabkab kita berasa amat lemah. Dan disitulah peranan enti dan Mastura sebagai seorang sahabat disisi ana. Kita pernah sama-sama menangis enti. Tangisan jernih yang keluar kerana muhasabah yang kita lakukan. Muhasabah atas peristiwa lalu, kerinduan pada keluarga yang berjauhan, pada pelajaran yang tertunda dan tekanan program dan kertas kerja. Tangisan kita tiada siapa yang mengerti Asyura. Mungkin akrabnya enti, ana dan Mastura ketika itu amat terasa sekali di kalbu ana. Doa Robithoh akhirnya menjadikan doa terakhir tangisan kita. Tangisan tiga hati yang bersahabat, bercinta dan berkasih sayang kerana Allah.

Masihkah enti ingat wahai sahabtku Asyura? Kita sama-sama turun ke surau Al-Muttaqin setiap petang Isnin dan Khamis. Memenuhi tuntutan solat berjemaah yang lazim kita lakukan. Cuma hari Isnin dan hari Khamis adalah hari istimewa. Hari kita bersama-sama sahabat-sahabat lain menyertai ifthor. Ifthor atau majlis berbuka puasa yang diuruskan oleh ana selaku yang diamahkan menjaga kewangan di bahagian muslimat. Kita bersama sahabat-sahabat lain akan membantu mengisikan dulang dengan pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan oleh Pak Cik di Kafe Sseri usai bacaan Al-Mathurat beramai-ramai.

Suapan pertama adalah pada sahabat. Begitu juga suapan seterusnya. Itu yang kita amalkan pada perkonsian makanan di dalam dulang itu. Bahagia terasa kerana ukhwah kita terjalin dengan suapan tangan sahabat. Terasa mesra saat makanan yang dijamah itu masuk melepasi mulut dan melalui esophagus. Betapa kita telah belajar banyak perkara berkaitan usroh dan halaqoh. Pada marhalah ukwah yang mempunyai rukunnya.
Masihkah ianya berada dalam kotak memorimu, sahabatku?

Sewaktu permulaan semester kedua kita dikejutkan dengan ketiadaan Mastura. Mastura pergi meninggalkan kita ke bumi anbiya’. Betapa bertuahnya Mastura kerana menerima tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke Mesir. Sudah tentu perpisahan itu amat menyakitkan, namun itu adalah yang terbaik buat Mastura. Dan ana tahu enti adalah yang paling sedih menerima berita itu. Bukankah pertemuan itu sudah kita tahu natijahnya iaitu perpisahan? Dan ana di sini hanya mampu memerhati dari jauh. Ah! Tambahan pula natijah imtihan semester pertama pula menjengah. Menambahkan rasa pilu pabila terasa harapan Umi dan Abi berada di hujung tanduk sahaja. Aduhai bagaimana kesedihan itu dapat mengatasi semangat dan kecekalanmu sahabat?

Lalu ana sentiasa memerhatikannya. Ingin menegur akan sikap dan keletah enti tidak pula ana merasakan kesalahan yang dilakukan. Seperti biasa enti masih lagi berahsia. Cukup dengan senyuman palsu itu sahabat dan gelak ketawa yang kepura-puraan telah ana hadam dan ana selaminya. Ana tidak mahu menerka, namun mungkin kehilangan sahabat terakrab itu menjadi bebanan berat dalam hati enti. Ana kehilangan kata dan daya, enti banyak berdiam dari berkata. Termenung dan melarikan diri dari dunia nyata.

Ana keseorangan lagi. Diuliti dengan pelbagai kerja. Dan hari pantas sangat berlalu. Ana menyedarinya. Medan tarbiyah dan silaturrahim kita makin renggang. Jika kerana perwakilan yang tidak ada bagi menemukan kita berdua ana tidak tahu bagaimana ianya terjalin. Namun berapa sangatlah waktu-waktu ingin berjumpa kerana lewat mesyuarat-mesyuarat yang diadakan tiada juga muka enti yang menjengah di pintu bilik gerakan.


Ana tahu enti ada di bilik pada sekian-sekian waktu ketika ana mencari. Bezanya enti meminta teman sebilik tidak memberitahu keadaan enti yang senyap sepi di bilik. Apalah sangat rahsia itu enti. Mungkin enti sudah lupa teman sebilik enti itu adalah rakan sekuliah ana. Selama manalah dia mampu menidakkan dan merahsiakan segala yang berlaku di bilik enti itu. Jangan pula enti menyalahkannya kerana dia sebenarnya sahabat yang prihatin dan mahu melihat enti berjaya sahabat. Dan berita kekosongan kehadiran ketika di kuliah mahupun kelas tutorial itu amat-amat merungsingkan ana. Pelajaran enti kini terganggu dan peperiksaan makin menjelang tiba. Saat ana cuba menyulam ukhwah dan menjalin benar persahabatan bersama-sama ahli usroh yang lain enti keciciran di belakang. Ana tahu bukan ana sahaja yang gelisah.

Siapa kata tiada siapa yang tidak mempedulikan enti? Ana tahu kerana Ulya seringkali mengajak enti belajar bersama di maktabah. Intan juga begitu sanggup berjalan dari asrama kediaman C ke bilik enti semata-mata ingin makan tengah hari serta saat Aimi mengajak enti bagi tujuan rehlah berbasikal pasti alasannya sama. Kalau tidak sakit kepala atau sakit perut itulah alasan enti menjauhkan diri dari kami semua. Ataupun sesekali menjenguk ke bilik enti, enti akan berada dalam keadaan berbaring tidur keletihan.

Ana terus memerhati enti. Kadang-kadang datang mencari di bilik, ke tempat tutorial dan dewan kuliah namun hampa. Apalah sangatnya besar kolej ini enti. Cuma mungkin itulah, antara masa, jarak dan keadaan yang memisahkan. Dan itulah apalah ana ini enti hanyalah sahabat yang pandai menyalahkan masa, jarak dan keadaan!

Imtihan yang menjelma menjadikan ana semakin kalut. Salah ana juga membiarkan enti keseorangan begitu. Mungkin juga taktik ana untuk menjauhkan diri sebentar dari enti dengan harapan enti hadir dan mencari ana. Aduhai tiada dapat ana fikirkan lagi tentang perasaan ana ketika itu. Dan ana hanya sekadar pemerhati. Mencari berita tentang enti lewat kekalutan mencari-cari sumber rujukan dan telaah terakhir dalam minggu-minggu persediaan menghadapi imtihan. Hairannya ketika di bilik enti sering tiada, di surau juga tiada di maktabah juga tiada. Mungkin pabila tuah menyebelahi ana, enti berada di dalam bilik, senang diuliti selimut.

Risau juga melihat keletah enti ketika itu kerana dalam kekalutan musim imtihan begini enti masih enak di buai mimpi. Ana tidak mahu bersangka buruk namun ketika itu ana tahu semagat enti berada di bawah paras paling kritikal. Peperiksaan ini merupakan penentu enti. Penentu pada segalanya! Dan ana berkali-kali menasihati enti.

Bangun sahabat! Bangun sahabat dari lenamu yang panajang! Bangun Asyura. Ana ceritakan tentang persahabatan ini. Ana lakarkan segalanya dengan enti. Ana tahu enti yang diam membungkam, tidur membelakangkan ana sedar dan waras. Ana minta enti bangun dan enti menolak. Ana sedaya upaya bersyarah panjang petang itu. Mulus hati ana ini ingin melihat sahabatnya bangun. Bangun dari tidur, dari mimpi dan dunia yang sepi. Ana tahu enti mendengarnya. Ana tahu enti mencernanya setiap butir kata yang ana pendamkan. Ana tah itu. Bahu dan badan enti bergerak. Tangisan enti yang ditahan juga ana dapat mendengarnya. Hingusan enti yang perlahan enti sembunyikan juga ana menghitungnya, beberapa kali. Bahasa tubuh enti tak dapat membohongi ana, Asyura. Enti menangis! Enti menangis Nur Asyura! Bangun Asyura! Lihat sahabatmu ini sahabat. Ana tak tega melihat keadaan enti sebegini. Ya! Enti bangun juga saat ana mahu bangun dan memulas tombol pintu itu. Terasa panasnya air mata pipi enti mengalir jatuh di lengan bahu ana. Enti dakap ana erat tanpa kata. Dan petang itu seusai segalanya ana tinggalkan enti dengan seribu persoalan yang hanya enti dapat menjawabnya.

Hari-hari peperiksaan menjengah. Sehelai demi sehelai kita buka lembaran kertas peperiksaan yang menjerat setiap ulu tangkai jantung kita. Ya! Masakan tidak ada yang terasa keterkilanan atas apa yang kita temui dalam soalan-soalan yang sukar untuk ditelah. Dan ana mencuba sebaiknya. Harapan ana semua sahabat-sahabat juga sebegitu. Ya! Doa ana tak putus-putus dipanjatkan kepada-Nya. Habis minggu peperiksaan ana sibuk pula mengemas barang-barang untuk dibawa pulang. Terdetik niat di dalam hati ingin ketemu dengan sahabat ana yang satu ini. Beberapa hari peperiksaan yang menjengah menyukarkan pergerakan untuk berjumpa dengan enti. Jika ana senggang, enti pula sibuk di maktabah menelaah. Ana masih memerhati tingkah enti. Namun bagi ana cukuplah enti sedar akan pentingnya imtihan ini.

Peperiksaan tamat dengan sorak-sorai kawan-kawan kita di kolej. Pentingnya kemerdekaan bagi mereka dari jajahan ilmu di kolej. Ketika masing-masing sibuk berkemas peralatan mahu pulang ke kampung halaman, ana terdetik niat berjumpa enti. Mungkin juga menghantar beberapa kitab yang ana pinjamkan. Dan bersalaman untuk kesekian kalinya. Mungkin selepas ini ana akan rindukan semua sahabat-sahabat di kolej. Kenangan yang tersimpul kemas dan pengalaman yang menampal kotak-kotak kosong sebuah kematangan. Pertemuan terakhir usroh kita disekat rasa pilu yang mencengkam. Dan seusai bermaafan kita berpisah lagi. Dengan janji akan bertemu lagi dan bertukar sapaan salam dalam kantung inbox.

Cuti menjengah membibitkan buah rindu yang bertunas. Setelah hampir 2 semester bersama kita berpisah. Saat keputusan diumumkan dan natijah yang diketahui ditelan sama ada manis atau pahitnya, telefon bimbit ana bergegar hebat. Bertukar-tukar berita gembira. Namun jauh di sudut hati, tiada balasan dari pertanyaan ana buat enti. Tiada sambutan salam apabila ana mengharapkan suara di ganggang sana. Enti pergi tanpa pamitan. Ana terkilan sendiri saat ana meneliti keputusan enti. Apakah ini sebabnya duhai sahabat? Inikah punca pada segala diamnya enti pada sahabat ini? Apalah sangat keputusan yang ingin disimpan itu enti kerana ana sudah tahu dan selidikinya. Atau mungkinkah enti sudah berputus asa? Mendiamkan diri dan menyepi sahaja membiarkan ana rindu lagi?

Aduhai! Ana menanti panggilan seorang sahabat yang ana rindui. Mungkin juga jika dapat mengetahui keadaannya juga sudah cukup buat ana. Penjelasan apakah lagi Asyura yang ingin ana titipkan terlalu banyak. Mungkin ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan sehingga tiada kemaafan yang perlu diberikan buat ana dan sahabat-sahabat lain. Lalu Asyura tegakah enti membiarkan ana dalam persoalan-persoalan yang sakit ini?

Angkat ganggat telefonmu Asyura. Mungkin Ana bukan yang tercipta yang terbaik untuk enti sepanjang perkenalan kita. Namun sedari ini Asyura biarpun telah enti buang diri jauh dan enti tanam ana sedalam-dalamnya adakah tega untuk ana melepaskan seorang sahabat yang bukan sekadar lalu dihadapan ana tetapi telah singgah dan mendiami hati ana?
Ayuh Asyura, kirimkan khabar beritamu. Dan saat ganggang itu ana pegang, ana mengharapkan yang memberikan salam dan memulakan butir bicara adalah suara enti yang menendang telinga ana. Jangan biarkan warkah harapan ini sepi Asyura, biarpun tiada alamat atau kotak peti surat yang akan menerimanya, setulusnya ana mengharapkan ianya sampai ke lubuk sanubari enti. Sedari ini duhai sahabat, ini merupakan tinta tanpa penerima namun si penghantar yang bergelar sahabat ini amat berharap ada kekuatan untuk enti tiba di ruangan alam maya ini dan membacanya.

































































1 comment:

Anonymous said...

syahdunya...

salam ziarah sahabatku..