Monday, December 29, 2008

ANAK GADIS AYAH DAN MPR 2008


AYAH

Sabarnya adalah hijau
di gurun sahara
Putih kapas salju
di laman khatulistiwa
biru tenang
di beku antartika

Sabarnya adalah
pelangi yang muncul
di perit bahang suria
seusai gerimis tiba
sebentar cuma

-Waja-
1515 271208

Sajak ini terdetik spontan dalam hati saya ketika dalam perjalanan untuk makan kenduri, semalam . Memang ketika itu ayah amat berang sekali. Sepatutnya untuk ayah marah ketika itu kerana saya. Boleh sahaja ayah memecut kereta wajanya dan meinggalkan saya terkapai-kapai di rumah. Ataupun ayah menjerit terlolong dari bawah aras rumah mengelui saya ketika itu.
Aduhai kasihan ayah! Kerana terpaksa banyak bersabar dengan perawan gadis ini. Kasihan juga ayah kerana ini bukanlah yang pertama kali saya lewat. Lambat! Cemerkap! Ketinggalan!. Lewatnya saya kerana saya lahir lewat dalam keluarga. Puteri bongsu ayah. Lewatnya saya kerana sayalah yang paling akhir meninggalkan alam persekolahan. Lewatnya saya kerana saya selalu menjadi yang terakhir keluar dari rumah. Walaupun saya sudah seterika baju awal, mandi awal, dan bersiap awal. Saya tetap menjadi yang terakhir!
”Adik memang lambat. Siap lambat. Berjalan lambat. Nak tutup pintu pagar pun lambat. Terhegeh-hegeh!” kak teh merungut-rungut ketika di dalam Waja Ayah. Mungkin kerana lama menunggu di dalam kereta.
”Patutlah masa bersalin adik lambat keluar. Nak bersiap rupanya. Sampai besarpun lambat jugak.” Ibu menyampuk. Mungkin mengenangkan waktu ketika saya bersalin. Ini bukan yang pertama ibu menyampaikan cerita itu. Sudah berbuih rasanya. Itulah yang disampaikan setiap kali saya menjadi penerima pingat paling lambat bersiap dalam keluarga.
”Nanti kahwin pun lambat jugaklah ye. Oklah tu. Kejar cita-cita dulu sebelum cinta, kan yah?’ Saya menambah. Senyum. Sengaja saya bercakap hampir di telinga ayah yang memandu. Saya tahu ayah senyum
”Siapa nak dekat adik? Lambat!” Kak teh menambah.
”Takpelah nanti ayah carilah. Kena cari orang yang sabar ye ayah. Hehehehe…” saya menambah lagi. Kak teh saya begitulah. Kuat sungguh mengusik satu-satunya adik perempuannya ini.


Saya tidak tahu mengapa. Mungkin itulah salah satu tabiat buruk saya. Kelemahan yang perlu saya tampal dengan perubahan. Kasihan betul saya pada ayah ketika itu. Saya tahu ayah marah! Ayah diam. Marah ayah diam. Jadi kalau diam, saya tahu ayah marah. Tapi marah ayah tak lama kerana saya tahu ubat ayah. Ubat ayah adalah senyuman saya. Ubat ayah adalah pujukan saya.
Alhamdulillah, hamdallah adalah yang pertama yang lontar tatkala melihat ayah dapat menerima kelewatan saya semalam yang entahlah kali yang keberapa. Kerana mungkin ayah sudah masak dengan perangai saya itu. Ataupun mungkin kerana saya sebenarnya bertuah mempunyai ayah yang penyabar. Siapkah yang lebih bersabar dengan karenah saya selain ayah saya. Sehingga saya pernah merasakan tiada siapa yang tahan dengan keletah dan perangai saya yang tidak molek-molek ini.
Dan semalam saya menerima ceramah akhir tahun 1429 hijrah daripada ayah. Ayah yang selalunya lama diam dan hanya mendengar perbahasan saya dan kakteh dari cermin pandang belakang tiba-tiba, melontarkan kata-katanya. Aduhai ada hikmah dalam lembut bicara ayah. Bukan ceramah yang disampaikan. Cuma ayat ”Berubahlah!” yang membuatkan saya tergamam dan fikiran saya ligat menghadam susunan aksara tersebut.
Mendalamnya! Dan semalam sepanjang perjalanan makan kenduri dan sehingga kini kata-katanya mengikuti setiap tindak tanduk dan tingkah saya. Ya! Mungkin sudah tiba masanya saya berubah. Berubah bukan semata-mata kedatangan Awal Muharam. Berubah bukan juga kerana tahun baru Masihi akan menjelma ataupun berubah kerana terpaksa. Berubahnya saya di nawaitu hanya kerana allah( insyaallah) dan segala yang berlaku merupakan wasilah yang hadir untuk saya sedar perlunya perubahan pada diri saya yang masih banyak perlu diperbaiki perangai dan tatasusila seorang anak gadis ayah.

Kata Nurul : Siapalah ’taufik’ yang sabar melayan karenah dan telatah
’hidayah’ ayah!

===============================





MINGGU PENULIS REMAJA 2008-
SATU WADAH SATU WASILAH

Apabila mengingatan tentang sabar sebenarnya saya sudah menulis entri bercerita perihal sepanjang keterujaan saya di MINGGU PENULIS REMAJA 2008. Bukan sekali tapi tiga kali berturut-turut. Semuanya menguji kesabaran saya kerana setelah mengetuk papan keyboard laptop yang panas menggigit jari jemari saya ( kerana laptop ayah tiada cooler) tiba-tiba semuanya hilang dalam satu saat. Aduhai! Kali kedua kerana kesalahan sendiri meninggalkannya dengan mudah tanpa mengira mujahid dan mujahidah kecil yang berperang di ruang tamu Teratak Bahagia. Sudahnya hilang juga entri yang belum ditekan punat POST SHOUTOUT. Kesabaran saya akhinya rebah pada kali ketiga kerana kesalahan sendiri. Tambahan pula gambar-gambar yang telah tersedia yang dirim Kak Dea lewat email yang memenuhi kantung inbox saya. Aduhai…
Saya memang perlu lebih bermujahadah dalam menyemai benih SABAR. Biarpun ramai yang mengatakan saya sebenarnya PENYABAR terutama di kalangan teman2) hakikatnya ketika di rumah saya bukanlah seperti apa yang disangka. Saya kira kesabaran saya tidaklah setinggi puncak gunung menggapai awan lembut yang putih kerana apabila tiba saatnya gunung yang terpasak diam di bumi itu sebenarnya tersimpan lahar panas yang menggelegak menunggu masa untuk diluahkan sahaja.
Dan apabila terfikikan keadaan seperti itu saya tahu ayah juga seperti saya. Cuma sabar saya tidak seperti sabar ayah!

MPR 2008- tak terkata! Ada KENANGAN yang dicipta dan PENGALAMAN yang tercipta. MPR 2008- belajar mencari benang termahal menyulam bait kata yang termahal…

Thursday, December 4, 2008

RESEPI LONTONG IBU

salam semua...( walaupun saya tahu tiada siapa yang nak baca blog nih)
sebenarnya resepi ini tiada kaitan dengan blog ini sama ada untuk tujuan menjadikan blog ini resepi style atau kelas memasak. Tapi itulah untuk abang tersayang yang tinggal jauh di Bumi Anbiya' mesir jadi memerlukan satu ruang kosong untuk saya mewajibkan diri mengeluarkan entri resepi ibu ini- buat cikdin inilah blog terbaru adik. SELAMAT DATANG
Kesian buat abangku kerana tiada lagi air tangan ibu yang dapat dirasainya. Mesti rindukan?
Insyaallah nanti kalau nak resepi ibu lagi adik cuba post outkan. Kalau tak dekat fs kat sini jelah. Lagipun sapalah nak masuk bloh nih ye tak kalau abangku yang tersayang hehehe_)
Jadi ini RESEPI LONTONG IBU khas untuk CIKDIN


RESEPI UNTUK LONTONG
(10 0rang)

Kuah Lontong

santan 1/2kilo
sayur pucuk
garam
kunyit
bunga kubis
sup hoon
lobak merah
tauhu 5 biji
tempe ( kalau ada bubuh jer)
jagung muda( yg kecil tue)

cara masak:
Chef besar cakap masuk semua dalam periuk. Kunyit sikit, garam sikit( kalau nak pedas letak cili cabai melaka sikit). Lepas tu kacau kemudian dah nak masak sikit letaklah suphoon. Pandai-pandailah abangku bajet ye. huhuhuu

Nasi Impit
2 pot nasi ( masak nasi sampai lembek, lepas masak letak dalam bekas dan impit-impitkan dgn plastik masa panas-guna tgn tau)
atuk cakap- kalau kat sana ada kedai antarabangsa malaysia huhuhu ayat tok power jugakkan?
beli jer nasi impit yang siap dalam plastik tue. Rebus masak dan hidang.

Sambal Pedas
Sama macam sambal buat nasi lemak yang ibu kirimkan hari tu.

SELAMAT MENCUBA
Sebenarnya cikdin pun rasanya pernah tengokkan ibu masak semua ini? Cubalah dulu tapi nanti
adik rasa lepas nih memang kena buat buku resepi khas untuk CIKDIN TERSAYANG huhuhu

Wednesday, December 3, 2008

MENCARI ASYURA...

-ana titipkan cerpen ini buat sahabat yang dinanti-
-NUR ASYURA BINTI JUMAT-

Bismillahirrahmanirrahim….
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Selawat dan salam ana panjatkan buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, sahabat-sahabat baginda dan juga keluarganya.
Assalammualaikum warahmatullahhiwabarakatuh…
Buat ukhti habibati asyura,

Akal wanita senipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati wanita serapuh kaca, kuatkan dengan iman, perasaanya selembut sutera hiasilah dengan akhlak.

Ana membuka warkah ini dengan kata-kata yang diutusi enti lewat perkenalan kita yang pertama via sistem pesanan ringkas. Masihkah enti ingat? Mungkin juga ia sudah luput dari sistem memori enti. Namun tak mengapa yang pasti itu bukan pembukaan pertama perkenalan kita. Kerana ana pasti enti lebih tahu dimana pertama kali kita bertemu, melemparkan senyuman dan memulakan bicara.

Saat waktu perkenalan kita di hari-hari pertama di kolej itu. Ketika kita terkejar-kejar dengan masa yang terhad dalam minggu orientasi. Ana hanya memerhati tingkah enti dari jauh. Lembut dan murah dengan senyuman. Manis.

Masihkah enti ingat dengan pemakaian tudung orientasi yang diwajibkan untuk semua pelajar itu. Pendek dan jarang. Dan saat ana tercari-cari rafik yang memakai tudung fesyen dua lapis seperti yang ana pakaikan, enti muncul ditengah-tengah antara mereka. Mungkin kerana itu ana senang dengan senyuman enti. Cuma masa tidak mengizinkan ana mendekati enti. Tambahan pula kita bukan dalan Blok Kediaman yang sama.

Perkenalan pertama kita singkat. Betul kata enti amalkan 3S. dalam kehidupan. Senyum, Sapa dan Salam. Itu yang enti dan Mastura gunakan saat masa-masa terluang ketika di kafeteria kolej. Dengan salam yang lunak dan sapaan mesra enti, terasa sudah lama kita berkenalan. Cepat benar kemesraan terjalin. Terasa seluruh urat saraf ana mengalir rasa persahabatan. Sehingga kita boleh berkongsi perasaan dan pendapat yang sama ketika hari-hari orientasi.

Dan selepas perkenalan pertama itu kita dihambat dengan hari-hari orientasi yang pelbagai ragam. Kita disogokkan dengan pelbagai aktiviti yang amat padat. Bermula dari sessi ldk, mentor mentee sehinggalah aktiviti-aktiviti yang amat janggal bagi ana. Rupanya begini menjadi seorang pelajar kolej. Dengan jerit, sorak sorai pelajar. Ana hanya memerhati dengan gelagat yang pelbagai. Betapa tiba-tiba ana jadi sedih sendiri. Berkali-kali ana berbisik, berdoa dalam hati agar hari-hari dalam minggu itu agar segera berlalu. Sedih dalam situasi yang mendesak itu, sedih kerana inilah pilihan ana bagi meneruskan pengajian, sedih lagi mengenangkan dengan suasana yang jauh bezanya dengan taman islami tercinta yang ana tinggalkan.

Waktu itulah ana mula sedar, inilah kehidupan enti. Selama ini ana berada di madrasah dan dilingkungi suasana yang bersih dan damai. Dikanan ana ustaz dan dikiri ustazah. Tiap-tiap hari makanan rohani dihidangkan. Pesanan-pesanan dan nasihat-nasihat di hadam. Ana nakal dahul enti. Ah! Ana juga pernah ceritakan kisah ana sewaktu di madrasah dahulu. Ana tak menghargai segala nasihat yang diberikan. Ketika itu cukuplah ana berada di tengah-tengah warga madrasah. Kerana ana tahu akan ada mereka-mereka yang memerhatikan tingkah ana. Ada sahabat-sahabat yang menegur jika adanya kekhilafan yang dilakukan. Adanya perngatan-peringatan buat ana saban hari. Pernah ana terfikir betapa indahnya berada di dunia luar. Bebas dan tidak perlu menjaga adab dan tingkah. Tidak perlukan peraturan dan segala banyak kekangan.

Ternyata ana silap. Rupa-rupanya dunia luar dari madrasah itu adalah palsu belaka. Kebebasan yang ana cerna mengikut penilaian nafsu dahulunya kini berada di hadapan mata. Lalu ana merindukan sahabat-sahabat dan bi’ah solehah yang dijana dalam diri ana dahulunya. Ana rindukan suasana pengajian yang dahulu. Saat ana sedar bahawa masa-masa yang berjalan, ana sedar bahawa beginilah kehidupan dengan pelbagai ragam. Lalu ana lalui hari-hari disini dengan bekalan-bekalan ingatan dan titipan-titipan doa yang dikirimkan sudah tentu dari ummi dan walid.
Betapa besarnya pertemuan yang allah ciptakan buat kita. Saat nama ana dipanggil oleh salah seorang fasilitator bertugas dan di tempatkan dalam bilik gerakan pelajar, ana hanya mampu berzikir. Apakah salah ana disini? Namun tatkala terpandang wajah pelajar-pelajar lain yang turut terpanggil, ana rasa nyaman dan bahagia apabila wajah enti berada sebarisan dengan mereka.

Kita berada dalam saf yang sama. Saf kepimpinan pelajar. Ketika itu Saf Kepimpinan Pelajar hanyalah bayangan sebelum sistem pilihan raya diadakan. Betapa ana begitu takut pada jawatan yang disandang. Takut pada amanah yang bakal dipikul. Dan takut pada pembahagian masa yang terhad. Ana tidak biasa dengan keadaan ini. Bekerjasama dengan kaum adam itu adalah pokok utama. Berkali-kali enti cuba menenangkan. Solat sunat istikharah adalah peneman malam-malam kita sebelum hari penamaan calon. Ujar enti inilah perjuangan . Sebagai seorang bakal pemimpin dan khalifah di muka bumi Allah. Juga sebagai salah seorang da’ie. Ya, Pendakwah!
Bukan ana tidak mengetahui dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W, bermaksud, apabila kamu menyebut tiada tuhan yang disembah selain daripada Allah maka dialah dai’e

Terbukti sewaktu nama ana naik sebagai pemegang salah satu jawatan di bilik gerakan itu ana jadi takut sendiri. Alhamdulillah enti juga berdiri sebarisan dengan ana dan juga Mastura. Dan saat itu enti sentiasa menghulurkan bantuan. Menjadi peneman disisi ana selain Mastura setiap kali adanya perjumpaan-perjumpaan bersama di pihak muslimin.

“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan sebahagian mereka menjadi pelindung bagi lainnya. Mereka menyuruh berbuat yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan aat kepada Allah dan Rasul-Nya.Merek akan di beri rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Mahaperkasa, Maha bijaksana.” Surah at-taubah ayat 71

Tafsir bacaan surah taubat itu dibaca pada suatu petang . Kita bukan berdua sahaja ketika itu asyura. Masih ada Aimi, Ulya, Intan dan juga Mastura. Mastura. Ana tahu selain ana, enti juga amat rapat bersama Mastura. Mastura itu lebih dahulu hadir dalam hidup enti berbanding ana. Namun kita bertiga amat rapat. Seperti belangkas lagaknya. Dimana ada enti, disitu ada ana dan Mastura. Namun kita masih berenam, menyimpulkan sebuah hati dan nurani dengan ikatan aqidah dan itulah ukhwah. Ana gembira bertemu dengan sahabat-sahabat seperti kalian. Punya banyak cerita, pengalaman, tazkirah dan segala macam peringatan.

Kita mulakan talian ukhwah dengan semangat membara. Bukankah ukhwah adalah saudaranya keimanan sedangkan perpecahan adalah saudara kembarnya kekufuran. Pada pertemuan-pertemuan yang sentiasa diaturkan. Dimulakan dengan al-fatihah dan diakhiri dengan tasbih kifarah dan surah al-asr itu, pertemuan kita biarpun singkat tapi penuh dengan rasa mahabbah. Namun tidak berhenti setakat disitu sahaja usroh kita. Kerana tautan hati yang bertaut sesekali melemparkan senyuman ketika terkejar-kejar kedewan kuliah adalah saat paling bahagia buat kita selaku sahabat Bukankah begitu saudaraku asyura?

Sesekali enti dan Mastura bermalam di bilik ana. Kita sama-sama menelaah dan mengulangkaji pelajaran. Ilmu yang sedikit di dada kita kongsi bersama. Perbincangan kita melewati hal-hal pelajaran sehinggalah masalah-masalah di kolej. Kadang-kadang sudah menjadi kemestian pula giliran bermalam berputar, di bilik enti dan kadang-kadang di bilik Mastura. Jika sempat kita akan menziarahi Aimi, Ulya dan Intan yang mendiami Kediaman Blok C.

Kekadang tak semua perjalanan kita berlalu dengan mudah di kolej. Ada masa-masanya kita berperang dengan perasaan sendiri. Perasaan yang menyucuk-nyucuk dan menyiat-nyiat dengan pelbagai peristiwa. Mungkin kita kumpul-kumpulkan menjadi lahar panas yang membuak. Kesabaran kita akhirnya tumpah jua. Mungkin pada perasaan rindu pada keluarga, tekanan kerja dan program serta tutorial dan kertas tugasan yang bertimbun menyebabkab kita berasa amat lemah. Dan disitulah peranan enti dan Mastura sebagai seorang sahabat disisi ana. Kita pernah sama-sama menangis enti. Tangisan jernih yang keluar kerana muhasabah yang kita lakukan. Muhasabah atas peristiwa lalu, kerinduan pada keluarga yang berjauhan, pada pelajaran yang tertunda dan tekanan program dan kertas kerja. Tangisan kita tiada siapa yang mengerti Asyura. Mungkin akrabnya enti, ana dan Mastura ketika itu amat terasa sekali di kalbu ana. Doa Robithoh akhirnya menjadikan doa terakhir tangisan kita. Tangisan tiga hati yang bersahabat, bercinta dan berkasih sayang kerana Allah.

Masihkah enti ingat wahai sahabtku Asyura? Kita sama-sama turun ke surau Al-Muttaqin setiap petang Isnin dan Khamis. Memenuhi tuntutan solat berjemaah yang lazim kita lakukan. Cuma hari Isnin dan hari Khamis adalah hari istimewa. Hari kita bersama-sama sahabat-sahabat lain menyertai ifthor. Ifthor atau majlis berbuka puasa yang diuruskan oleh ana selaku yang diamahkan menjaga kewangan di bahagian muslimat. Kita bersama sahabat-sahabat lain akan membantu mengisikan dulang dengan pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan oleh Pak Cik di Kafe Sseri usai bacaan Al-Mathurat beramai-ramai.

Suapan pertama adalah pada sahabat. Begitu juga suapan seterusnya. Itu yang kita amalkan pada perkonsian makanan di dalam dulang itu. Bahagia terasa kerana ukhwah kita terjalin dengan suapan tangan sahabat. Terasa mesra saat makanan yang dijamah itu masuk melepasi mulut dan melalui esophagus. Betapa kita telah belajar banyak perkara berkaitan usroh dan halaqoh. Pada marhalah ukwah yang mempunyai rukunnya.
Masihkah ianya berada dalam kotak memorimu, sahabatku?

Sewaktu permulaan semester kedua kita dikejutkan dengan ketiadaan Mastura. Mastura pergi meninggalkan kita ke bumi anbiya’. Betapa bertuahnya Mastura kerana menerima tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke Mesir. Sudah tentu perpisahan itu amat menyakitkan, namun itu adalah yang terbaik buat Mastura. Dan ana tahu enti adalah yang paling sedih menerima berita itu. Bukankah pertemuan itu sudah kita tahu natijahnya iaitu perpisahan? Dan ana di sini hanya mampu memerhati dari jauh. Ah! Tambahan pula natijah imtihan semester pertama pula menjengah. Menambahkan rasa pilu pabila terasa harapan Umi dan Abi berada di hujung tanduk sahaja. Aduhai bagaimana kesedihan itu dapat mengatasi semangat dan kecekalanmu sahabat?

Lalu ana sentiasa memerhatikannya. Ingin menegur akan sikap dan keletah enti tidak pula ana merasakan kesalahan yang dilakukan. Seperti biasa enti masih lagi berahsia. Cukup dengan senyuman palsu itu sahabat dan gelak ketawa yang kepura-puraan telah ana hadam dan ana selaminya. Ana tidak mahu menerka, namun mungkin kehilangan sahabat terakrab itu menjadi bebanan berat dalam hati enti. Ana kehilangan kata dan daya, enti banyak berdiam dari berkata. Termenung dan melarikan diri dari dunia nyata.

Ana keseorangan lagi. Diuliti dengan pelbagai kerja. Dan hari pantas sangat berlalu. Ana menyedarinya. Medan tarbiyah dan silaturrahim kita makin renggang. Jika kerana perwakilan yang tidak ada bagi menemukan kita berdua ana tidak tahu bagaimana ianya terjalin. Namun berapa sangatlah waktu-waktu ingin berjumpa kerana lewat mesyuarat-mesyuarat yang diadakan tiada juga muka enti yang menjengah di pintu bilik gerakan.


Ana tahu enti ada di bilik pada sekian-sekian waktu ketika ana mencari. Bezanya enti meminta teman sebilik tidak memberitahu keadaan enti yang senyap sepi di bilik. Apalah sangat rahsia itu enti. Mungkin enti sudah lupa teman sebilik enti itu adalah rakan sekuliah ana. Selama manalah dia mampu menidakkan dan merahsiakan segala yang berlaku di bilik enti itu. Jangan pula enti menyalahkannya kerana dia sebenarnya sahabat yang prihatin dan mahu melihat enti berjaya sahabat. Dan berita kekosongan kehadiran ketika di kuliah mahupun kelas tutorial itu amat-amat merungsingkan ana. Pelajaran enti kini terganggu dan peperiksaan makin menjelang tiba. Saat ana cuba menyulam ukhwah dan menjalin benar persahabatan bersama-sama ahli usroh yang lain enti keciciran di belakang. Ana tahu bukan ana sahaja yang gelisah.

Siapa kata tiada siapa yang tidak mempedulikan enti? Ana tahu kerana Ulya seringkali mengajak enti belajar bersama di maktabah. Intan juga begitu sanggup berjalan dari asrama kediaman C ke bilik enti semata-mata ingin makan tengah hari serta saat Aimi mengajak enti bagi tujuan rehlah berbasikal pasti alasannya sama. Kalau tidak sakit kepala atau sakit perut itulah alasan enti menjauhkan diri dari kami semua. Ataupun sesekali menjenguk ke bilik enti, enti akan berada dalam keadaan berbaring tidur keletihan.

Ana terus memerhati enti. Kadang-kadang datang mencari di bilik, ke tempat tutorial dan dewan kuliah namun hampa. Apalah sangatnya besar kolej ini enti. Cuma mungkin itulah, antara masa, jarak dan keadaan yang memisahkan. Dan itulah apalah ana ini enti hanyalah sahabat yang pandai menyalahkan masa, jarak dan keadaan!

Imtihan yang menjelma menjadikan ana semakin kalut. Salah ana juga membiarkan enti keseorangan begitu. Mungkin juga taktik ana untuk menjauhkan diri sebentar dari enti dengan harapan enti hadir dan mencari ana. Aduhai tiada dapat ana fikirkan lagi tentang perasaan ana ketika itu. Dan ana hanya sekadar pemerhati. Mencari berita tentang enti lewat kekalutan mencari-cari sumber rujukan dan telaah terakhir dalam minggu-minggu persediaan menghadapi imtihan. Hairannya ketika di bilik enti sering tiada, di surau juga tiada di maktabah juga tiada. Mungkin pabila tuah menyebelahi ana, enti berada di dalam bilik, senang diuliti selimut.

Risau juga melihat keletah enti ketika itu kerana dalam kekalutan musim imtihan begini enti masih enak di buai mimpi. Ana tidak mahu bersangka buruk namun ketika itu ana tahu semagat enti berada di bawah paras paling kritikal. Peperiksaan ini merupakan penentu enti. Penentu pada segalanya! Dan ana berkali-kali menasihati enti.

Bangun sahabat! Bangun sahabat dari lenamu yang panajang! Bangun Asyura. Ana ceritakan tentang persahabatan ini. Ana lakarkan segalanya dengan enti. Ana tahu enti yang diam membungkam, tidur membelakangkan ana sedar dan waras. Ana minta enti bangun dan enti menolak. Ana sedaya upaya bersyarah panjang petang itu. Mulus hati ana ini ingin melihat sahabatnya bangun. Bangun dari tidur, dari mimpi dan dunia yang sepi. Ana tahu enti mendengarnya. Ana tahu enti mencernanya setiap butir kata yang ana pendamkan. Ana tah itu. Bahu dan badan enti bergerak. Tangisan enti yang ditahan juga ana dapat mendengarnya. Hingusan enti yang perlahan enti sembunyikan juga ana menghitungnya, beberapa kali. Bahasa tubuh enti tak dapat membohongi ana, Asyura. Enti menangis! Enti menangis Nur Asyura! Bangun Asyura! Lihat sahabatmu ini sahabat. Ana tak tega melihat keadaan enti sebegini. Ya! Enti bangun juga saat ana mahu bangun dan memulas tombol pintu itu. Terasa panasnya air mata pipi enti mengalir jatuh di lengan bahu ana. Enti dakap ana erat tanpa kata. Dan petang itu seusai segalanya ana tinggalkan enti dengan seribu persoalan yang hanya enti dapat menjawabnya.

Hari-hari peperiksaan menjengah. Sehelai demi sehelai kita buka lembaran kertas peperiksaan yang menjerat setiap ulu tangkai jantung kita. Ya! Masakan tidak ada yang terasa keterkilanan atas apa yang kita temui dalam soalan-soalan yang sukar untuk ditelah. Dan ana mencuba sebaiknya. Harapan ana semua sahabat-sahabat juga sebegitu. Ya! Doa ana tak putus-putus dipanjatkan kepada-Nya. Habis minggu peperiksaan ana sibuk pula mengemas barang-barang untuk dibawa pulang. Terdetik niat di dalam hati ingin ketemu dengan sahabat ana yang satu ini. Beberapa hari peperiksaan yang menjengah menyukarkan pergerakan untuk berjumpa dengan enti. Jika ana senggang, enti pula sibuk di maktabah menelaah. Ana masih memerhati tingkah enti. Namun bagi ana cukuplah enti sedar akan pentingnya imtihan ini.

Peperiksaan tamat dengan sorak-sorai kawan-kawan kita di kolej. Pentingnya kemerdekaan bagi mereka dari jajahan ilmu di kolej. Ketika masing-masing sibuk berkemas peralatan mahu pulang ke kampung halaman, ana terdetik niat berjumpa enti. Mungkin juga menghantar beberapa kitab yang ana pinjamkan. Dan bersalaman untuk kesekian kalinya. Mungkin selepas ini ana akan rindukan semua sahabat-sahabat di kolej. Kenangan yang tersimpul kemas dan pengalaman yang menampal kotak-kotak kosong sebuah kematangan. Pertemuan terakhir usroh kita disekat rasa pilu yang mencengkam. Dan seusai bermaafan kita berpisah lagi. Dengan janji akan bertemu lagi dan bertukar sapaan salam dalam kantung inbox.

Cuti menjengah membibitkan buah rindu yang bertunas. Setelah hampir 2 semester bersama kita berpisah. Saat keputusan diumumkan dan natijah yang diketahui ditelan sama ada manis atau pahitnya, telefon bimbit ana bergegar hebat. Bertukar-tukar berita gembira. Namun jauh di sudut hati, tiada balasan dari pertanyaan ana buat enti. Tiada sambutan salam apabila ana mengharapkan suara di ganggang sana. Enti pergi tanpa pamitan. Ana terkilan sendiri saat ana meneliti keputusan enti. Apakah ini sebabnya duhai sahabat? Inikah punca pada segala diamnya enti pada sahabat ini? Apalah sangat keputusan yang ingin disimpan itu enti kerana ana sudah tahu dan selidikinya. Atau mungkinkah enti sudah berputus asa? Mendiamkan diri dan menyepi sahaja membiarkan ana rindu lagi?

Aduhai! Ana menanti panggilan seorang sahabat yang ana rindui. Mungkin juga jika dapat mengetahui keadaannya juga sudah cukup buat ana. Penjelasan apakah lagi Asyura yang ingin ana titipkan terlalu banyak. Mungkin ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan sehingga tiada kemaafan yang perlu diberikan buat ana dan sahabat-sahabat lain. Lalu Asyura tegakah enti membiarkan ana dalam persoalan-persoalan yang sakit ini?

Angkat ganggat telefonmu Asyura. Mungkin Ana bukan yang tercipta yang terbaik untuk enti sepanjang perkenalan kita. Namun sedari ini Asyura biarpun telah enti buang diri jauh dan enti tanam ana sedalam-dalamnya adakah tega untuk ana melepaskan seorang sahabat yang bukan sekadar lalu dihadapan ana tetapi telah singgah dan mendiami hati ana?
Ayuh Asyura, kirimkan khabar beritamu. Dan saat ganggang itu ana pegang, ana mengharapkan yang memberikan salam dan memulakan butir bicara adalah suara enti yang menendang telinga ana. Jangan biarkan warkah harapan ini sepi Asyura, biarpun tiada alamat atau kotak peti surat yang akan menerimanya, setulusnya ana mengharapkan ianya sampai ke lubuk sanubari enti. Sedari ini duhai sahabat, ini merupakan tinta tanpa penerima namun si penghantar yang bergelar sahabat ini amat berharap ada kekuatan untuk enti tiba di ruangan alam maya ini dan membacanya.

































































TOLONG SAMPAIKAN INI KEPADANYA

TOLONG SAMPAIKAN INI KEPADANYA
(Dia yang bakal zauji,temanku,kekasihku,cintaku,pahlawanku & mujahidku)

TOLONG BERITAHU SI DIA AKU ADA PESANAN BUATNYA
TOLONG BERITAHU SI DIA, CINTA AGUNG IALAH CINTA-NYA
TOLONG BERITAHU SI DIA, CINTA MANUSIA BAKAL MEMBUATNYA ALPA...

TOLONG NASIHATI SI DIA, JANGAN MENYINTAIKU LEBIH DARI DIA MENYINTAI YANG MAHA ESA
TOLONG NASIHATI DIA, JANGAN MENGINGATIKU LEBIH DARI DIA MENGINGATI YANG BERKUASA
TOLONG NASIHATI SI DIA JANGAN MENDOAKANKU LEBIH DARI DIA MENDOAKAN IBU BAPANYA

TOLONG KATAKAN PADA SI DIA, DAHULUKAN ALLAH KERANA DI SITU ADA SYURGA
TOLONG KATAKAN PADA SI DIA, DAHULUKAN IBU BAPANYA KERANA DI TELAPAK ITU SYURGANYA..

TOLONG INGATKAN SI DIA. AKU TERPIKAT KERANA IMANNYA BUKAN RUPA..
TOLONG INGATKAN SI DIA. AKU LEBIH CINTAKAN ZUHUDNYA BUKAN HARTA...
TOLONG INGATKAN SI DIA AKU KASIHINYA KERANA SANTUNNYA...

TOLONG TEGUR DI DIA, BILA DIA MULA MENGANGUNGKAN CINTA MANUSIA...
TOLONG TEGUR SI DIA, BILA DIA TENGGELAM DALAM ANGAN-ANGANNYA....
TOLONG TEGUR SI DIA, ANDAI NAFSU MENGAWAL FIKIRANNYA...

TOLONG SEDARKAN SI DIA, AKU MILIK ALLAH YANG ESA
TOLONG SEDARKAN SI DIA. AKU MASIH MILIK KELUARGA....
TOLONG SEDARKAN SI DIA TANGGUNGJAWABNYA BESAR KEPADA KELUARGANYA...

TOLONG SABARKAN SI DIA, USAH UCAP CINTA DI KALA CITA-CITA BELUM TERLAKSANA...
TOLONG SABARKAN SI DIA, ANDAI DIRI INI ENGGAN DIRAPATI KERANA MENJAGA BATASAN CINTA...
TOLONG SABARKAN SI DIA, BILA JARAK MENJADI PENYEBAB BERTAMBAH RINDUNYA...
TOLONG PESAN PADANYA. AKU TIDAK MAHU MENJADI FITNAH BESAR KEPADANYA
TOLONG PESAN KEPADANYA AKU TAK MAHU MENJADI PUNCA KEGAGALANNYA
TOLONG PESAN PADANYA AKU MEMBIARKAN YANG ESA MENJAGA DIRINYA

TOLONG KHABARKAN PADA SI DIA AKU TAK MAHU MELEKAKANNYA
TOLONG KHABARKAN PADA SIDIA AKU MAHU DIA BERJAYA DALAM IMPIAN DAN CITA-CITANYA
TOLONG KHABARKAN PADA SIDIA JADILAH PENYOKONG DALAM KEJAYAANKU

TOLOMG SAMPAIKAN PADA SI DIA, AKU MENDAMBAKAN CINTA SUCI YANG TERJAGA
TOLONG SAMPAIKAN PADA SI DIA CINTA KERANA ALLAH TIADA NILAINYA
TOLONG SAMPAIKAN PADA SIDIA HUBUNGAN INI TERJAGA SELAGI DIA MENJAGA HUBUNGAN INI DGN YANG MAHA KUASA
TOLONG SAMPAIKAN KEPADANYA KERANA AKU TIDAK MAMPU MEMBERITAHUNYA SENDIRI

HANYA ENGKAU YA ALLAH YANG HANYA TAHU SIAPA DI DIA
MOGA PESANANKU SAMPAI PADANYA WALAU AKU SENDIRI TIDAK MENGETAHUI SIAPA DAN DIMANA DI DIA...
MOGA DIA SEEKOR LEBAH YANG SENTIASA MEMUJI KEAGUNGAN YANG MAHA KUASA
MEMASUKI TAMAN LARANGAN DENGAN SOPAN SANTUNNYA BERTEMU MAWAR BERDURI YANG TERJAGA OLEH TUANNYA..
SIMPANLAH PESANANKU INI SEHINGGA ENGKAU BERTEMU DENGANKU SUATU HARI NANTI................





















Monday, December 1, 2008

AL-FATIHAH.....

AL-FATIHAH....
Buat Allahyarham Dato' Razali Ismail kerana telah kembali ke Rahmatullah. Takziah buat keluarga allahyarham. Sesungguhnya pemergian beliau sebagai seorang tokoh dalam dunia pendidikan amat terasa kehilangannya. Masih teringat lagi ketika beliau berucap dalam Majlis Pelancaran PPIP di Dewan Aminuddin Baki. Ceramah yang betul-betul membakar semanagt kami sidang dewan yang rata-ratanya adalah bakal seorang pendidik. Masih terasa lawak jenakanya ketika memuji Puan Pengarah di atas dewan besar itu.

"Dan setiap waktu umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun '
-surah al-a'raf ayat 34-

Dan yang pasti apabila masa telah tiba dan seruan telah memanggil, kematian merupakan satu perpisahan yang menanti dan tak dapat dielakkan lagi. Pemergian beliau amat dirasai negara kerana jasa dan pengorbanan beliau terutamanya dalam bidang pendidikan negara. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa......

Monday, November 24, 2008

KEMBARA KE ALAM MAYA

Alhamdulillah ...
ini merupakan blog pertama yang dibina. Penuh kesederhanaan. Penuh Kelemahan. Sebenarnya masih lagi tercari-cari jalan yang sesuai untuk membina blog. Betapa dunia yang semakin global serta kekangan yang menuntut diri ini untuk membina laman blog sendiri untukberkongsi idea, pengalaman, dan buah fikiran dengan semua orang.
Membina blog perlu dengan fikiran yang terbuka dan matang. Sementelahlah banyak blog yang tercipta merupakan blog santai tanpa tujuan dan hala tuju. Mohon blog yang dicipta saya kelak akan memberi manfaat buat semua sahabat-sahabat serta pengunjung blog ini.
Salam taa'ruf di laman pertama.....