Thursday, October 29, 2009

SAYA HANYA MERANCANG ....

AKTIVITI ....

Banyak aktiviti dan keperluan yang menuntut masa saya. Berikut merupakan susunan kerja yang perlu saya lakukan:

22-23 OKT + SEMARAK PERPADUAN

25 OKT + TANAM BAKAU DI KAMPUNG CHENAAM BERSAMA CARE

28 OKT + KENAIKAN BENGKUNG DAN PENYAMPAIAN SIJIL SILAT GAYONG

30 -1 OKT + KURSUS KEPENGGUNAAN

2 NOV + ENGLISH EVENING

4 NOV + EXAM - ENGLISH PAPER

5 NOV + EXAM - PENGAJIAN MELAYU

7 NOV + PAMERAN SAM DI SEK KEB. MOHD SHAH

10 NOV + EXAM - KAJIAN SOSIAL 1

12 NOV + EXAM - KAJIAN SOSIAL 2



Di tengah-tengah jadual yang dirangka ini banyak lagi tuntutan dan kewajipan yang wajib dipenuhi. Insyaallah saya cuba lakukan yang terbaik. Saya hanya merancang dan ALLAH yang akan menentukan. Ya Allah! sesibuk mana hamba-MU ini kekalkan diriku dalam saf perjuangan ISLAM ---- AMIN.....


UJIAN ITU TARBIYAH, SABAR ITU INDAH!

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah – saya masih lagi bernafas di muka bumi ALLAH ini. Menjadi salah satu makhluk-NYA yang dikelilingi dengan pelbagai nikmat. Dan nikmat yang terbesar adalah nikmat Iman dan Islam.

Jika ditanya tentang kesihatan – Alhamdulillah masih lagi di bawah pemeliharaan ALLAH. Masih dapat bergerak dan berkata-kata. Biarpun minggu lalu dibuka dengan pelbagai emosi yang menterjah dengan tiba-tiba. Andai saya mempunyai graf gerakan hati dan emosi, saya percaya minggu lalu saya lalui dengan pelbagai perasaan. Bertukar dengan cepat dan segera. Andai saya gembira di pagi hari, saya menerima kesedihan di petangnya, dan menghadapi ketakutan di malamnya.


Sulit ingin saya ceritakan. Namun itu semua saya terima dengan berlapang dada. Alhamdulillah- ALLAH mudahkan perjalanan hidup saya minggu lalu. ALLAH kuatkan semangat saya untuk lalui semua ujian-NYA. Cukuplah ALLAH sebagai tempat mengadu.


Seorang sahabat yang menyedari perubahan emosi saya berkata, ”Makin kuat ALLAH uji kita, sebenarya makin sayang ALLAH pada kita.” Kata-kata itu terbit di bibirnya saat pertemuan kami yang tidak dirancang. Dan yang pasti kata-kata itulah yang menyentak hati saya seminggu yang lalu hingga kini. Ya! Hakikatnya saya diuji.


ALLAH berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang membawa maksud :


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
( QS 2: 286 )

Saya jadikan ayat ini sebagai kekuatan. Ayat yang sering dibacai lewat al- Ma’thurat yang dikenali. Ayat yang pernah saya tadabburkan sebagai dalil ketika menghadapi saat-saat sukar bersama sahabat- sahabat di matrkulasi. Dan ayat itu kembali menendang gegendang telinga saya. Kekuatan saya terbit dengan janji ALLAH ini.


Biarpun tiada siapa yang menyedarinya. Teman-teman akrab yang mengenali saya sedar perubahan tersebut. Kerana ketika saya menasihati mereka agar menjadi air dan bukannya api, saya tanamkan dihati saya agar nasihat dari mulut saya sampai terus ke telinga. Almaklum – mulut yang berkata-kata lebih dekat dengan telinga yang mendengar dan lebih menikam pada hati yang merasai.

Saya diuji lagi. Dan saya sedar itu. Tiadalah ujian yang ditimpakan kepada manusia melainkan mempunyai hikmah yang tersendiri. Hikmah yang diterima disebalik kejadian tersebut amat manis.


”Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar”

(Suroh Al- Baqarah: 155)



Kemanisan merasai hikmah selepas ujian merupakan satu penghargaan daripada ALLAH. Lalu setiap ujian yang ditimpakan mempunyai nilai yang terlalu tinggi yang dikirikan kepada hamba-hamba-NYA. Hanya kita yang tidak pernah menghargai dan bersyukur atas apa yang berlaku dan telah ditetapkan oleh-NYA.


Amin Raihany pernah berkata, ”Pengalaman merupakan sekolah terbaik kehidupan”. Kata-kata tersebut menjadi kata-kata hikmah buat saya mengutip setiap pengalaman di jalan-jalan, lorong-lorong dan cerah gelap kehidupan yang dilalui. Dan kata-kata itu diubah oleh Ustaz Hafiz Nordin ketika pulang daripada program ASAK yang lalu. ”Pengalaman itu merupakan tarbiyah!”

Ya! Tarbiyah darpada ALLAH secara langsung. Terus mengajar dan mendidik hati saya. Bahawa setiap apa yang saya lalui mempunyai fungsi dan nilai yang berharga. Lalu setiap saat, saya perlu menghargai kata-kata manusia dan juga tingkah laku mereka. Bahkan setiap kesusahan dan kesenangan yang dihadapi itu merupakan usaha bagi mematangkan fikiran dan meningkatkan keimanan.



  • Gantungakan segala-galanya hanya pada ALLAH. Sesungguhnya ALLAHlah pemegang hati-hati manusia.

Tuesday, October 27, 2009


Kunci kerahsiaan hatiku pengap
kuhampar lembut baldunya sunyi
dan kubiar hingar di dalam hati
jejari yang mengetuk papan kekunci
tiba-tiba kaku terhenti
sepi tidak mati

nur
G2/1

Sunday, October 18, 2009

IKHLAS

DERAP MUJAHID


Selaung seriak dalam perjuangan

Telanlah tengik dan masam

Mehnah dan tribulasi ujian

Polemik dan retorik

Semata-mata



Inilah sekolah- sekolah hidupku

Juga hidup kamu dan mereka

Selangkah mujahidku tersadung

Semalam

Kugugurkan air mata

Atas sebuah kepercayaan

Yang tak retak tapi berkocak



Hari ini berbeza sahabat

Terima kasih masih ketemu hari ini

Ada pasak yang kubenam

Dan gendang yang kupalu

Teruskan duhai mujahid

Akan kusambut derap langkahmu

Dengan doa yang satu



Telah kuikrar janji

Menggenggam segunung kepercayaan

di jari manisku



DIA MUJAHID SAYA....

Thursday, October 8, 2009

SUDAH TIBA MASANYA...



SETAHUN


Setahun meninggalkan maya ini

Menyimpan hasrat memendam tekad

Masa yang berlalu takkan kembali

Buku- buku yang berhabuk di almari usang bawah rumah

Menarik-narik agar kuhadap dan hadam dengan penuh selera

Agar tak pudar rasa cinta

pada buku dan pena



Setahun menyembunyikan rahsia hati

Pada kiraan malu dan

himpitan suara halus yang bergema hebat

menyekang dan memasung diri

lantaran mendokong suara jiwa

mengejar gemaan dan menyusur jalan tanpa rela



Sesak!

Saat tinta-tinta milik mereka

menceroboh ruang media

dan aku yang terpasong itu

sumbing tanpa gerak

tingkah tanpa bicara

dikerongkongan tak bersuara

kuhulurkan salam



terima kasih setahun yang berlalu

kerana setahun itu

adalah cuti panjang tanpa harga

noktah tanpa pena

koma tanpa bicara



Selamat tinggal buat setahun yang berlalu

izinkan aku terbang bebas

bersama mereka di maya ini

biar setahun membawa pergi hari usiaku

bertatih dan jatuh itu adalah aku

belajar terbang menongkah arus

di maya indah!


BANGKIT WAHAI DIRI !


Tuesday, October 6, 2009

DEDIKASI UNTUK KALIAN...




3 SEMESTER DI NEGARA PPISMP PS/P1/PM2
BUMI IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN



Senyuman kalian dihatiku....



HARAPAN DARI HATI....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah.. usai sudah oral english test saya hari ini. Alhamdulillah juga kerana saya dapat menjawab dengan seadanya. Kurniaan ilham dan dimudahkan dalam setiap kata-kata itulah doa saya saban waktu mungkin begitu juga kawan-kawan yang lain.


Saya tersenyum dan geli hati melihat gelagat kawan-kawan sekelas. Semua sedia maklum mempunyai keletah, perangai dan aksi yang pelbagai. Menjadikan kami satu kelas yang riuh dan penuh dengan tawa.


Saya bahagia bersama teman-teman sepanjang 3 semester berada dalam lingkungan sosial yang dinilai dari aspek kaca mata sisipan mahupun sekadar sepintas lalu sahaja. Sosial itulah yang kadang-kadang dinilai orang sebagai masalah. Sosial itulah yang dicemuh dan dilihat sebagai serpihan kecil sahaja. Atau sosial itulah yang menjadikan kami ini dilihat kecil daripada pandangan mata setiap manusia di kampus ini.


Sosial kami juga membuatkan kami bersama-sama berkumpul bagi menyatukan hati dalam bilik G2/5 itu. Bilik itu juga ada sejarahnya. Sejarah panasnya perasaan kami kerana perselisihan faham yang panjang. Bilik itu yang dahulunya saya rasakan panas, sejuk pada malam sebelum ujian English test tersebut. Saya sentiasa berdoa agar bilik itu juga yang menadikan kami dengan rasa persahabatan dan kasih sayang. Dan harapan saya teman-teman juga sebegitu. Bersama-sama malam itu kita memohon pengharapan dan pergantungan dalam doa dengan nikmat Iman dan Islam daripada-NYA.


Dan terima kasih juga atas keprihatinan semua yang hadir dalam menyatakan penyatuan hati-hati kita bersama. Dalam doa itu, ada mengalir pengharapan saya untuk semua. Harapan seorang kakak pada adik-adiknya. Harapan seorang teman pada sahabatnya. Terima kasih pada panggilan ”kakak” itu yang mengajar saya menyebarkan kasih sayang. Terima kasih kerana menyediakan saya banyak peluang untuk bersama kalian. Dan terima kasih juga atas segala yang diberikan.

Saya hargai malam itu dan akan saya kenang sepanjang 3 Semester bersama mereka. Jujur pada malam itu tulusnya saya mendoakan yang terbaik untuk persahabatan kami. Saya rasakan limpahan kasih sayang bertambah pada mereka. Mereka yang mempunyai keletah, perangai dan kelakuan yang menceriakan hari-hari saya. Mereka yang ALLAH titipkan hadir dalam hati. Hadir untuk saya merasai dan mempelajari sepenuhnya erti kehidupan ini.


Saya mungkin juga telah ketemu jawapan pada setiap soalan saya dahulu. Soalan yang bukanlah penyesalan atas pilihan sendiri berada di samping mereka, mahupun kerelaan hati. Persoalan yang menjadikan saya lemas dengan soalan yang sama. Klise. Persoalan itu yang semuanya menuntut saya pada kesabaran. Sabar dalam menghadapi apa jua mehnah dan tribulasi. Sabar dalam menghadapi hari-hari bersama mereka semua.


Biarpun saya akui perbezaan yang wujud antara saya dahulu dan kini, hanya mungkin saya yang mengerti. Sesekali menyelongkar rahsia hati, saya sekadar tersenyum. Pilihan yang Allah tetapkan dan hikmah yang saya kendong kini merupakan satu suntikan kepada saya merasai kasih sayang ALLAH.


Persoalan yang terwujud pada benak kini tinggal kosong, terisi dengan hikmah yang amat mendalam. Hikmah atas kewujudan saya di tengah-tengah mereka dan hikmah atas pemilihan keberadaan saya bersam-sama mereka. Mereka racun dan merekalah penawar saya.


Dan semster 3 ini bakal berlalu. Saya senang bersama kalian semua. Yang sentiasa berada di hati. Ada harapan-harapan saya yang masih saya pendamkan pada kalian semua duhai sahabat. Harapan pada sama-sama melakukan perubahan. Harapan pada sama-sama mengejar kebaikan. Harapan pada sama-sama mencari redho-NYA.


Mungkin malam itu merupakan satu titik mula bagi kita semua. Bagi merasai kemanisan dalam persahabatan perlunya ada pengorbanan. Titik mula untuk semua merasai ukhwah berlandaskan Islam dan Iman.


Terima kasih pada mereka yang pernah hadir dengan senyuman pada saya. Yang pernah datang kerana kritikan dan sindiran, dan yang bersama dalam perjuangan beroleh kejayaan. Terutama pada mereka yang menjadi penasihat terbaik saya melalui kritikan dan sindiran- terima kasih kerana menyedarkan saya bahawa saya tidak berada dalam zon yang selesa dan mengingatkan saya bahawa saya juga manusia. Kepada teman-teman yang sentiasa memberikan manisnya senyuman- ada kata-kata untuk saya yang tidak diluahkan- maka luahkanlah. Insyaallah, akan saya lapangkan rasa hati dan terima seadanya kata-kata itu.


Pada teman-teman yang merasai pahitnya berjuang bersama- menyelesaikan tugasan mahupun mencipta kejayaan- penghargaan untuk anda kerana memahami saya seadanya saya. Kerana saya juga manusia dan di mana sahaja anda meletakkan diri anda- semuanya tetap dalam hati saya.


Kita semuanya tiada masa untuk membenci. Masa itu memberi peluang untuk saya menghargai setiap kata-kata dan perbuatan sepanjang persahabatan yang terjalin ini.


Masa itu yang telah mempertemukan dan akan memisahkan. Masa kita amat terhad kita tak pernah bersyukur atas kehadirannya. Kerana masa itu telah tertakluk pada kekuasaan ALLAH. Masa itu jua ciptaan ALLAH. Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Dan saya mengharapkan pemberian pada setiap kata-kata dan harapan saya disemat jua dalam hati kalian. Pada kesempatan dan masa yang telah berlalu juga- pohon kemaafan pada setiap butir bicara dan tingkah perbuatan.




Kak Nurul Sayang Semua.....