Tuesday, December 29, 2009

JOM SERTAI LANDAS TAHUN BARU!!

Assalamualaikum.

AlhamduliLlah, setelah kejayaan Ops Sayangi Remaja sempena tahun baru 3 tahun berturut-turut, Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Pulau Pinang dengan kerjasama Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) Pulau Pinang sekali lagi menganjurkan Ops Sayangi Remaja 2010 di sekitar tempat terpilih di Pulau Pinang.

Maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh: 31 Disember 2009 (Khamis)
Tempat: Masjid Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang
Masa: 6.40 petang

Diharap kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama menyertai program ini datang awal dan mendaftar. Peserta-peserta juga diamanahkan untuk membetulkan niat sebelum menyertai program ini dengan meletakkan tujuan berdakwah kerana Allah SWT semata-mata.

Sila hebahkan program ini kepada sahabat-sahabat yang lain. Sebarang pertanyaan, sila hubungi

Nurfitri Amir (013-7069509) atau Azwaahidah (019-4553985). Harap maklum.

* Pendaftaran adalah WAJIB untuk penyertaan Ops Sayangi Remaja kali ini. Kaunter pendaftaran akan dibuka di Masjid Kubang Buaya pada jam 6.30 petang hingga 9.00 malam sahaja.--


`Izzat Anwari bin Hasni,Ketua Usrah Pemikiran,Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),Pulau Pinang.Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com

Monday, December 28, 2009

DIARI KEHIDUPAN


Bertamu di Kuala Mu
( Espedisi Dakwah kelompok Minoriti Orang Asli, Sg Siput Perak)

Kuala Mu telah menceritakan perihal anak-anak kecil
Kaki-kaki mulus tanpa capal dan alasnya
yang memijak tanah selut berlari-lari anak
Hingar melihat kereta-kereta besar
Bertamu sebentar di Kuala Mu
Dengan senyuman dan lambaian mesra

Nyanyian yang dilatari lagu alam
Bersatu deru sungai jernih nan dingin
Indah langit, tenang bayu
Keriut buluh rumah teduhan
Ketika kaki menapak salam
Lagu syahadah melekap dibibir kecil si mungil
Dan Islam bergema di sebuah perkampungan terpencil

Kuala Mu telah mengisahkan pelbagai cerita
Tentang seorang tua, wanita bongkok tiga
Yang senyumnya kerepot manis
Tawa-tawa malu ketika diaju soalan pewaris
Tanpa mengerti cakapnya yang aneh
Aneh sebuah perkampungan kecil terpencil

Wanita tua yang pongah jalannya
Dalam pohon usia kepikunan
Biarpun berwajah masai, rambut kusut, pakaian terabai
Membawa kosongnya sepinggan plastik
yang penuh harapan agar di bawa pulang
sebarang bekalan.
santapan enak buat si adik tua uzur
setia menanti di teratak kecil.

Nasi ditanak berbau sekampung
Adalah makanan mewah dikerongkongnya
Yang enak menyapa perut kedut
Dan selera di lidah tua
Serta penantian kenyang di kerongkongan anak-anak kecil
kecur melihat sepinggan nasi
Bilakah perut akan terisi
Santapan pengganti ubi saban hari.
Saat aku dirapati dan bertanyakan
seruji makanan tengah hari.


Si ibu yang mengendong kasih anak
Berkain batik lusuh tua
Meminta aku sebuku sabun mandi
Buat membersih si anak kecil
Yang masih merah tak mengerti
Meraih simpati insan yang baru bertamu di sini
Nilaian sebuku sabun, mengisi sebuah kehidupan

Kutemui ibu muda yang mesra
Tiba dari hujung kampung sana
Gembira menerima tudung dakwah
Saat ziarah kami diterima di pagi hari
Bertandang di teduhan buluh pada lewat petangnya
Sangat cantik mengenakan kerudung kepala
“Dakwah ini cantik,” ujarnya
Sambil mengunjuk kepada tudung yang dipakainya.


Malam dingin di Kuala Mu
Adalah keraian para tetamu
Dengan seni kebudayaan asli
Penuh tatasusila dan budi
Akrab dan tawa insan berbeza budaya
Namun menghubung hati manusia
Di bawah jambatan ukhwah
Indahnya Keimanan
Syumulnya Keislaman


Saat embun mula turun
Dan Subuh menyinsing bergema azan
Mengesakan Tuhan Yang Esa
Menyeru sekalian manusia yang terlena
Agar bangun menguak kabus jahiliah
Mengalirkan air sungai dingin pada batang tubuh insani
Adalah wudhu’ tanda bersuci
Sujud kembali pada-NYA Yang Maha Pemberi

Halaman di Kuala Mu yang sedia terpencil dahulunya
Kini panjinya utuh
Menganyam padu ikatan Ukhwah
Menyerap bayu manisnya Iman
Melatari alam cantiknya Islam.

Bertamu di Kuala Mu
Telah mengetuk tabung kepedulian seorang aku
Agar memindahkan segala kisah
dipojok kecil senaskah harian
Bagi tatapan kalian...
Inilah sebuah kehidupan dari sejuta kehidupan


Nurul Hidayah Bt. Ahmad Shahbudin
(Peserta Akademi Dakwah 2009 (31 Dis-13 Jan)
Angkatan Pemuda Pemudi Islam Pulau Pinang (API) )



Ditujukan buat semua keluarga Akademi Dakwah 2009 (AD09) yang telah berekspedisi selama
2 hari ke Perkampuangan Orang Asli Kuala Mu pada 5-6 Dis. Semoga kalian beristikhomah dalam menjalankan gerak kerja seorang da'ie. Gunakan segala yang diperolehi 2 Minggu dalam AD09 untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang da'ie.

Ingatlah firman ALLAH dlm suroh Al- Saff (ayat 2-3): "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tida kamu kerjakan."

UKHWAH FILLAH, ABADAN ABADA!

Friday, December 25, 2009

AKADEMI DAKWAH- Erti Sebenar Seorang Da'ie

Kembara Aktivis Umat ( AKADEMI DAKWAH ' 09)

Bismillahirrahmanirrahim...

Hampir dua minggu perjalanan Madrasah Aktivis Dakwah (Mad’u) atau Akademi Dakwah 2009 anjuran sayap pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) iaitu Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) merencanakan pelbagai permasalahan umat yang meruncing belakangan ini. Program yang bermula di Sg. Dua, Pulau Pinang dan berakhir di Kg. Teluk Mat Acheh, Yan disusun dengan lapangan aktivisme yang pelbagai sebagai contoh serangan pemikiran, pendidikan, konflik umat Islam global, sosio ekonomi umat Islam, dakwah kelompok minoriti, alam sekitar dan kepenggunaan, permasalahan sosial dan penulisan.


Pengenalan dan Sesi Ta’aruf – 30 Nov. 2009



Proses suai dan kenal

Sesi ta’aruf bermula jam 4.00 petang dengan kehadiran lebih 20 orang peserta. Para peserta memperkenalkan diri serta tujuan mereka menyertai Akademi Dakwah ini. Seterusnya para peserta dibekalkan dengan buku ‘monolog’, fail, pen, tentatif dan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk memudahkan perjalanan AD selama 2 minggu ini. Akh Nizam Mahshar dijemput untuk mengisi slot pengenalan dengan tajuk Tasawwur Islami, yang diolah dengan begitu menarik ditambah pula dengan pengisian Ustaz Hafiz Nordin yang betajuk Pengantar Gerakan Islam.


Ghazwul fikr (serangan pemikiran) – (1 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang


Tajuk ; Pemikiran Islam, Sejarah dan Cabaran : Monoreligio Global, Perkembangan dan Cabaran pada dunia Islam yang disampaikan oleh Akh Nizam Mashar sebagai pengantar kepada pemikiran-pemikiran yang muncul menjadikan para peserta tersentak dengan istilah-istilah serta kalimah-kalimah falsafah yang agak memeningkan . Pemikiran sekularisme yang meracuni negara moden kini menjadi asbab kepada kefasadan yang berlaku kini turut dibentangkan. Petangnya, Akhi Izzat pula mengetengahkan tentang Pemikiran Islam yang agak berat tambahan pula pada waktu petang yang agak mendung, menambahkan lagi ‘aura’ mengantuk sementara Ustaz Hafiz Nordin pula membentangkan tentang Islam Liberal yang berkembang pesat ke seluruh dunia dan sejarahnya sehingga fahaman sesat ini semakin berkembang. Pada malamnya pula, Dr. Muhammad Ali dari SOLACE menyampaikan ceramah tentang Wacana Pemikiran Islam Baru sebagai penyelesaian serangan pemikiran yang telah dibentangkan sebelumnya. Beliau turut menyeru agar para peserta AD mengkaji dan mengambil iktibar tentang pemikiran-pemikiran ini serta melakukan sesuatu untuk membetulkannya semula.


Sistem Pendidikan Islam – (2 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang




Dr. Fadhullah Jamil dari Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM yang juga seorang pakar sejarah Tamadun Islam pula membentangkan kertas kerja mengenai Falsafah Pendidikan Islam. Beliau begitu serius dalam membicarakan topik ini, dengan lantang dan nada yang agak keras tetapi mempunyai mesej yang jelas. Definisi Pendidikan Islam dihuraikan satu persatu memudahkan peserta memahami apa yang hendak disampaikan. Kritikan-kritikan ‘pedas’ yang dilemparkan menghilangkan rasa mengantuk peserta-peserta AD. Pengisian seterusnya mengenai Isu Pendidikan di Malaysia secara ringkas diberikan oleh Cikgu Sakinah membuatkan peserta merasai realiti sebenar tentang permasalahan yang berlaku dan sedikit pendekatan yang diberikan untuk bakal-bakal guru. Banyak soalan yang dikemukakan oleh para peserta menandakan mereka begitu peka tentang pendidikan di negara kita ini.




Pada malamnya, peserta (secara berkumpulan) dikehendaki menganalisa satu permasalahan pendidikan di Malaysia meliputi faktor, kesan dan tindakan antaranya Kualiti Guru, Gejala Sosial, Kebanjiran pusat pengajian tinggi, masalah displin dan lain-lain.


Konflik Umat Islam Global – (3 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang


Bersama sahabat dari Pattani:
Ismael dan Kak Rosyidah



Kertas kerja Hj. Mohideen dari Citizens International (CI) mengenai Isu Global Umat Islam (State of The Muslim World) mendedahkan tentang cabaran dan masalah berlakunya konflik ini dan beberapa penyelesaian isu ini secara worldview. Lapangan ini menfokuskan Isu Selatan Thailand sebagai rujukan dengan menjemput Saudara Fawaz Abdul Aziz, bekas wartawan malaysiakini yang sekarang bertugas di CI dan merupakan seorang yang mahir tentang isu di Selatan Thailand. Beliau membicarakan tentang sejarah Selatan Thai dan sebab berlakunya ketegangan di sana dengan Kedatangan 2 orang wakil aktivis dari Selatan Thailand iaitu dari HAP (sebuah organisasi Hak Asasi Manusia) menceritakan sejarah dan pengalaman ditangkap membuatkan sebahagian peserta berasa sedih dan terharu. Pemuda-pemuda di sana yang ditangkap oleh dadu(baca:tentera) dipaksa mengaku melakukan jenayah walaupun bukan mereka yang melakukuannya. Pelbagai bentuk penderaan dikenakan untuk membuatkan mereka mengaku bersalah dan menyelesaikan kes-kes serangan bom. Pada malamnya, kami dipersembahkan tentang gambar-gambar dan video-video yang menayangkan perjuangan sahabat di Patani, Yala dan Narathiwat terhadap kerajaan Thailand yang menekan kehidupan mereka. Kemudian, Akh Saiful Affindi turut memperkenalkan sekteriat khusus untuk membantu menyelesaikan beberapa permasalahan di sana dengan kerjasama beberapa NGO-NGO Selatan Thailand.


Sosio Ekonomi Umat Islam – (4 Dis. 2009) Tanjung Tokong dan Kg. Makam, Pulau Pinang






Kali ini kami menuju ke Pejabat Persatuan Penduduk Kg. Tanjung Tokong bersama dengan Pengerusi Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (PAJIM) yang mesra dengan panggilan Pak Usop. Turut sama hadir ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Tg. Tokong iaitu Cikgu Saleh. Kami didedahkan tentang sejarah kampung dan realiti yang berlaku antara pihak UDA Holdings dan penduduk kampung. Cikgu Saleh turut mengemukakan bukti-bukti tentang kewujudan masyarakat Melayu sebelum Pulau Pinang diserahkan kepada Francis Light lagi. Ternyata penduduk Kg. Tanjung Tokong ini peka dengan strategi pihak pemaju yang dilihat ingin mengaut keuntungan semata-mata. Selepas solat Jumaat di Masjid Tg. Tokong, kami bergerak ke Masjid Kg. Makam yang turut sama menjadi mangsa akibat kerakusan pihak yang menghidapi penyakit “wahanisme”. Kepentingan peribadi lebih diutamakan berbanding dengan kepentingan rakyat, lebih malang lagi aduan serta desakan yang dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab tidak pernah diendahkan. Penerangan beberapa penduduk kampung bersama Angkatan Bertindak Rakyat Tertindas mengenai tanah wakaf di situ menimbulkan kehairanan bagaimana pihak yang bertanggungjawab lalai menunaikan amanah dan cuai dalam menjaga tanah wakaf di sekitar Pulau Pinang.


Dakwah kelompok minoriti (Orang Asli) – (5-6 Dis. 2009) Sg. Siput, Perak






Peserta-peserta AD bertolak ke Sg. Siput, Perak dari Butterworth dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda Team 4x4 (Utara Offroad Club) sebanyak 11 buah. Kira-kira jam 5 pagi, kami tiba di Masjid Lasah dan berehat sebelum bertolak ke kaki bukit. Seawal 7 pagi, semua kenderaan pacuan 4 roda bertolak ke kaki bukit menuju ke Kampung Orang Asli Pos Kuala Mu. Kira-kira jam 12 tengah hari, kami tiba di sana dengan selamat walaupun pelbagai rintangan dihadapi. Antara program yang diaturkan ialah gotong-royong memasak untuk jamuan makan kepada masyarakat orang Asli (Pos Kuala Mu) ; cak raya, menziarahi Tok Batin, mengedarkan beras, dan beramah mesra dengan penduduk, menyaksikan tarian sewang dan lain-lain. Solat berjemaah dan tazkirah turut dijalankan walaupun suasana begitu sejuk pada sebelah paginya. Masyarakat orang Asli di sana kebanyakkannya masih belum mampu untuk menunaikan perkara-perkara asas Islam. Kami berasa belum puas walaupun kebanyakkan golongan kanak-kanak orang Asli mampu melafazkan kalimah-kalimah syahadah dengan baik. Kami tinggalkan bumi Kuala Mu dengan seribu kenangan pahit dan manis sambil menghayati bagaimana dakwah RasuluLlah yang begitu ‘berat’ berbanding apa yang telah kami alami.


Alam Sekitar dan Kepenggunaan – (7-9 Dis. 2009) Singkir, Kedah


presentation



bedah buku



Saudara Ridzuan bin Muhammad wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyampaikan slot beliau mengenai Kepenggunaan meliputi hak-hak pengguna, isu-isu kepenggunaan dan lain-lain. Para peserta begitu tertarik dengan perkara-perkara yang dibincangkan kerana kebanyakkannya berkisar tentang kehidupan mereka contohnya masalah urusan jual beli dan sebagainya. Isu halal dan haram yang dikemukakan kepada penceramah menyebabkan para peserta makin tertarik dengan isu kepenggunaan ini. Kemudian para peserta dikehendaki mem’bedah’ buku-buku kepenggunaan antaranya Masyarakat yang Sakit, Kesan Televisyen terhadap Anak-anak, Awasi Garam Tersembunyi dalam Makanan dan Merungkai Perangkap Budaya Pengguna. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seterusnya membentangkan perkara-perkara pokok dalam buku tersebut. Keesokkan harinya, Saudari Fatin Safiah Kamaruddin dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar dan beberapa isu alam sekitar di Malaysia. Para peserta kemudiannya diminta mem’bedah’ buku Islam dan Ekologi yang menjadi bahan bacaan wajib bagi aktivis alam sekitar SAM. Pada petangnya, Saudara Shamsul Ery Shamsuddin wakil Sahabat Alam Malaysia memberi penerangan tentang isu kuari Jerai yang mencetuskan konflik yang begitu hebat. Turut dimuatkan tentang isu SULIHH (Sungai Limau Hydro Carbon Hub) yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah di Pulau Bunting Yan. Para peserta dibawa ke Pulau Bunting untuk melihat sendiri isu ini serta membuat sedikit temu ramah dengan penduduk di sana. Malamnya, Akh Nizam Mashar dijemput menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar, Pembangunan dan Masyarakat yang menyentuh tentang punca-punca isu alam sekitar dan kaitannya dengan pemikiran, pembangunan secara Islam dan masyarakat.


Permasalahan Sosial – (10-11 Dis. 2009) Sg. Petani, Kedah

Kami kemudiannya menginap di Masjid Sultan Muzaffar Shah selama 2 hari untuk mengikuti LANDAS (Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial) bersama dengan Ustaz Kamaruddin Kassim (Koordinator LANDAS). Menyelami permasalahan sosial remaja hari ini yang begitu meruncing, para peserta dibawa ke lapangan untuk melatih diri ber’hemoi’ dengan mad’u masing-masing. Bukan sekadar teori, malahan praktikal dakwah turut didedahkan kepada para peserta Akademi Dakwah. Pelbagai strategi mendekati golongan muda-mudi yang terjebak dengan gejala sosial contohnya gejala menghidu gam, menghisap dadah, couple, meminum arak dan lain-lain lagi. Para peserta turut disajikan dengan video mengenai Sihir Muzik yang mendedahkan tentang perancangan musuh-musuh Islam serta peranan artis-artis Barat dalam menjatuhkan umat Islam. Kemudiannya, para peserta dikehendaki merangka teknik-teknik pencegahan yang boleh dilakukan dalam isu-isu gejala sosial contohnya gejala ponteng, pergaulan bebas, permainan video dan lain-lain. Antara pengalaman pahit yang dilalui oleh para peserta AD ialah ketika mendekati mad’u di Central Square(CS), diugut akan ditikam sekiranya tidak meninggalkan kawasan CS dengan segera.


Kronologi Peristiwa Ugutan di lapangan LANDAS

Pada sebelah petang hari kedua, kami menuju ke Tingkat 4&5 Central Square (CS) untuk meninjau suasana dan mendekati mad’u. Kawasan ini merupakan port bagi muda mudi berkumpul untuk berhibur, berkaraoke, bermain permainan video dan lain-lain. Kami dikejutkan dengan kehadiran segelintir remaja yang sedang mabuk ‘menyerang’ kumpulan kami. Mereka begitu agresif sehingga bertindak memecahkan botol arak yang sedang diminum berhampiran food court. Mereka kelihatan begitu paranoid memandangkan mereka ternampak salah seorang daripada peserta AD membawa kamera dan mengambil gambar di port mereka. Kesilapan ini mencetuskan kemarahan salah seorang remaja yang sedang mabuk dan bertindak mengugut untuk menikam kami sekiranya tidak beredar dengan segera. Sebenarnya mereka sudah mengesan kehadiran kami melalui ‘mata-mata’ yang berada di sekeliling bangunan CS. Ugutan demikian dibuat memandangkan mereka menganggap kami adalah merupakan penguatkuasa Majlis Agama Islam. Seorang daripada remaja yang mabuk datang menemui kumpulan kami dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kesilapan peserta AD tadi yang mengambil gambar port mereka. Memikirkan akan keselamatan, kami mengambil langkah drastik dengan beredar dari CS beransur-ansur bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dari pemerhatian kami, remaja-remaja ini dilindungi oleh pihak yang berkepentingan bagi melindungi kegiatan mereka; sebagai strategi perniagaan arak yang begitu lumayan di situ.


Dakwah dalam Penulisan – (12 Dis. 2009) : Yan, Kedah


Hari terakhir AD dimuatkan dengan ceramah mengenai penulisan oleh Saudari Siti Mariani Ali Imran, seorang Research Officer di USM. Pendedahan mengenai Public Relation(PR) dan teknik-teknik penulisan menarik minat para peserta. Pada sebelah petangnya, peserta dikehendaki merangka pelan penulisan akan datang sebagai langkah memperkukuhkan penulisan khususnya dalam lapangan dakwah masing-masing. Slot terakhir lapangan penulisan diisi oleh Ustaz Azizi Abdullah, seorang penulis yang tidak asing lagi. Beliau menfokuskan mengenai penulisan artikel bagi memudahkan peserta menyiapkan tugasan artikel yang diberi sebelum berakhirnya AD. Beliau turut berharap agar perjalanan AD 2009 ini dijadikan diari sebagai platform untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang lapangan aktivisme ini disamping boleh dijadikan bahan komersial kepada pihak-pihak yang berminat.


Catatan kembara ini diambil dari blog Angkatan Pemuda Pemudi Islam(API). Inilah peristiwa-peristiwa yang saya lalui dalam tempoh dua minggu lalu. Sejak pulang dari AD '09 lalu, hati ini selalu rindu untuk kembali berkumpul dan beraktiviti lagi. Sebenarnya banyak lagi yang mahu saya kongsi. Insya-Allah dari semasa ke semasa saya akan update gambar dan laporan. Sebenarnya tengah tunggu urusetia pos gambar-gambar sepanjang program. Moga bermanfaat buat semua...

Thursday, December 24, 2009

SAYA KEMBALI-
INSYAALLAH DENGAN SEMANGAT DAN TIUPAN ROH
MAAL HIJRAH DAN 1 MUHARAM

Thursday, October 29, 2009

SAYA HANYA MERANCANG ....

AKTIVITI ....

Banyak aktiviti dan keperluan yang menuntut masa saya. Berikut merupakan susunan kerja yang perlu saya lakukan:

22-23 OKT + SEMARAK PERPADUAN

25 OKT + TANAM BAKAU DI KAMPUNG CHENAAM BERSAMA CARE

28 OKT + KENAIKAN BENGKUNG DAN PENYAMPAIAN SIJIL SILAT GAYONG

30 -1 OKT + KURSUS KEPENGGUNAAN

2 NOV + ENGLISH EVENING

4 NOV + EXAM - ENGLISH PAPER

5 NOV + EXAM - PENGAJIAN MELAYU

7 NOV + PAMERAN SAM DI SEK KEB. MOHD SHAH

10 NOV + EXAM - KAJIAN SOSIAL 1

12 NOV + EXAM - KAJIAN SOSIAL 2



Di tengah-tengah jadual yang dirangka ini banyak lagi tuntutan dan kewajipan yang wajib dipenuhi. Insyaallah saya cuba lakukan yang terbaik. Saya hanya merancang dan ALLAH yang akan menentukan. Ya Allah! sesibuk mana hamba-MU ini kekalkan diriku dalam saf perjuangan ISLAM ---- AMIN.....


UJIAN ITU TARBIYAH, SABAR ITU INDAH!

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah – saya masih lagi bernafas di muka bumi ALLAH ini. Menjadi salah satu makhluk-NYA yang dikelilingi dengan pelbagai nikmat. Dan nikmat yang terbesar adalah nikmat Iman dan Islam.

Jika ditanya tentang kesihatan – Alhamdulillah masih lagi di bawah pemeliharaan ALLAH. Masih dapat bergerak dan berkata-kata. Biarpun minggu lalu dibuka dengan pelbagai emosi yang menterjah dengan tiba-tiba. Andai saya mempunyai graf gerakan hati dan emosi, saya percaya minggu lalu saya lalui dengan pelbagai perasaan. Bertukar dengan cepat dan segera. Andai saya gembira di pagi hari, saya menerima kesedihan di petangnya, dan menghadapi ketakutan di malamnya.


Sulit ingin saya ceritakan. Namun itu semua saya terima dengan berlapang dada. Alhamdulillah- ALLAH mudahkan perjalanan hidup saya minggu lalu. ALLAH kuatkan semangat saya untuk lalui semua ujian-NYA. Cukuplah ALLAH sebagai tempat mengadu.


Seorang sahabat yang menyedari perubahan emosi saya berkata, ”Makin kuat ALLAH uji kita, sebenarya makin sayang ALLAH pada kita.” Kata-kata itu terbit di bibirnya saat pertemuan kami yang tidak dirancang. Dan yang pasti kata-kata itulah yang menyentak hati saya seminggu yang lalu hingga kini. Ya! Hakikatnya saya diuji.


ALLAH berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang membawa maksud :


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
( QS 2: 286 )

Saya jadikan ayat ini sebagai kekuatan. Ayat yang sering dibacai lewat al- Ma’thurat yang dikenali. Ayat yang pernah saya tadabburkan sebagai dalil ketika menghadapi saat-saat sukar bersama sahabat- sahabat di matrkulasi. Dan ayat itu kembali menendang gegendang telinga saya. Kekuatan saya terbit dengan janji ALLAH ini.


Biarpun tiada siapa yang menyedarinya. Teman-teman akrab yang mengenali saya sedar perubahan tersebut. Kerana ketika saya menasihati mereka agar menjadi air dan bukannya api, saya tanamkan dihati saya agar nasihat dari mulut saya sampai terus ke telinga. Almaklum – mulut yang berkata-kata lebih dekat dengan telinga yang mendengar dan lebih menikam pada hati yang merasai.

Saya diuji lagi. Dan saya sedar itu. Tiadalah ujian yang ditimpakan kepada manusia melainkan mempunyai hikmah yang tersendiri. Hikmah yang diterima disebalik kejadian tersebut amat manis.


”Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar”

(Suroh Al- Baqarah: 155)



Kemanisan merasai hikmah selepas ujian merupakan satu penghargaan daripada ALLAH. Lalu setiap ujian yang ditimpakan mempunyai nilai yang terlalu tinggi yang dikirikan kepada hamba-hamba-NYA. Hanya kita yang tidak pernah menghargai dan bersyukur atas apa yang berlaku dan telah ditetapkan oleh-NYA.


Amin Raihany pernah berkata, ”Pengalaman merupakan sekolah terbaik kehidupan”. Kata-kata tersebut menjadi kata-kata hikmah buat saya mengutip setiap pengalaman di jalan-jalan, lorong-lorong dan cerah gelap kehidupan yang dilalui. Dan kata-kata itu diubah oleh Ustaz Hafiz Nordin ketika pulang daripada program ASAK yang lalu. ”Pengalaman itu merupakan tarbiyah!”

Ya! Tarbiyah darpada ALLAH secara langsung. Terus mengajar dan mendidik hati saya. Bahawa setiap apa yang saya lalui mempunyai fungsi dan nilai yang berharga. Lalu setiap saat, saya perlu menghargai kata-kata manusia dan juga tingkah laku mereka. Bahkan setiap kesusahan dan kesenangan yang dihadapi itu merupakan usaha bagi mematangkan fikiran dan meningkatkan keimanan.



  • Gantungakan segala-galanya hanya pada ALLAH. Sesungguhnya ALLAHlah pemegang hati-hati manusia.

Tuesday, October 27, 2009


Kunci kerahsiaan hatiku pengap
kuhampar lembut baldunya sunyi
dan kubiar hingar di dalam hati
jejari yang mengetuk papan kekunci
tiba-tiba kaku terhenti
sepi tidak mati

nur
G2/1

Sunday, October 18, 2009

IKHLAS

DERAP MUJAHID


Selaung seriak dalam perjuangan

Telanlah tengik dan masam

Mehnah dan tribulasi ujian

Polemik dan retorik

Semata-mata



Inilah sekolah- sekolah hidupku

Juga hidup kamu dan mereka

Selangkah mujahidku tersadung

Semalam

Kugugurkan air mata

Atas sebuah kepercayaan

Yang tak retak tapi berkocak



Hari ini berbeza sahabat

Terima kasih masih ketemu hari ini

Ada pasak yang kubenam

Dan gendang yang kupalu

Teruskan duhai mujahid

Akan kusambut derap langkahmu

Dengan doa yang satu



Telah kuikrar janji

Menggenggam segunung kepercayaan

di jari manisku



DIA MUJAHID SAYA....

Thursday, October 8, 2009

SUDAH TIBA MASANYA...



SETAHUN


Setahun meninggalkan maya ini

Menyimpan hasrat memendam tekad

Masa yang berlalu takkan kembali

Buku- buku yang berhabuk di almari usang bawah rumah

Menarik-narik agar kuhadap dan hadam dengan penuh selera

Agar tak pudar rasa cinta

pada buku dan pena



Setahun menyembunyikan rahsia hati

Pada kiraan malu dan

himpitan suara halus yang bergema hebat

menyekang dan memasung diri

lantaran mendokong suara jiwa

mengejar gemaan dan menyusur jalan tanpa rela



Sesak!

Saat tinta-tinta milik mereka

menceroboh ruang media

dan aku yang terpasong itu

sumbing tanpa gerak

tingkah tanpa bicara

dikerongkongan tak bersuara

kuhulurkan salam



terima kasih setahun yang berlalu

kerana setahun itu

adalah cuti panjang tanpa harga

noktah tanpa pena

koma tanpa bicara



Selamat tinggal buat setahun yang berlalu

izinkan aku terbang bebas

bersama mereka di maya ini

biar setahun membawa pergi hari usiaku

bertatih dan jatuh itu adalah aku

belajar terbang menongkah arus

di maya indah!


BANGKIT WAHAI DIRI !


Tuesday, October 6, 2009

DEDIKASI UNTUK KALIAN...




3 SEMESTER DI NEGARA PPISMP PS/P1/PM2
BUMI IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN



Senyuman kalian dihatiku....



HARAPAN DARI HATI....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah.. usai sudah oral english test saya hari ini. Alhamdulillah juga kerana saya dapat menjawab dengan seadanya. Kurniaan ilham dan dimudahkan dalam setiap kata-kata itulah doa saya saban waktu mungkin begitu juga kawan-kawan yang lain.


Saya tersenyum dan geli hati melihat gelagat kawan-kawan sekelas. Semua sedia maklum mempunyai keletah, perangai dan aksi yang pelbagai. Menjadikan kami satu kelas yang riuh dan penuh dengan tawa.


Saya bahagia bersama teman-teman sepanjang 3 semester berada dalam lingkungan sosial yang dinilai dari aspek kaca mata sisipan mahupun sekadar sepintas lalu sahaja. Sosial itulah yang kadang-kadang dinilai orang sebagai masalah. Sosial itulah yang dicemuh dan dilihat sebagai serpihan kecil sahaja. Atau sosial itulah yang menjadikan kami ini dilihat kecil daripada pandangan mata setiap manusia di kampus ini.


Sosial kami juga membuatkan kami bersama-sama berkumpul bagi menyatukan hati dalam bilik G2/5 itu. Bilik itu juga ada sejarahnya. Sejarah panasnya perasaan kami kerana perselisihan faham yang panjang. Bilik itu yang dahulunya saya rasakan panas, sejuk pada malam sebelum ujian English test tersebut. Saya sentiasa berdoa agar bilik itu juga yang menadikan kami dengan rasa persahabatan dan kasih sayang. Dan harapan saya teman-teman juga sebegitu. Bersama-sama malam itu kita memohon pengharapan dan pergantungan dalam doa dengan nikmat Iman dan Islam daripada-NYA.


Dan terima kasih juga atas keprihatinan semua yang hadir dalam menyatakan penyatuan hati-hati kita bersama. Dalam doa itu, ada mengalir pengharapan saya untuk semua. Harapan seorang kakak pada adik-adiknya. Harapan seorang teman pada sahabatnya. Terima kasih pada panggilan ”kakak” itu yang mengajar saya menyebarkan kasih sayang. Terima kasih kerana menyediakan saya banyak peluang untuk bersama kalian. Dan terima kasih juga atas segala yang diberikan.

Saya hargai malam itu dan akan saya kenang sepanjang 3 Semester bersama mereka. Jujur pada malam itu tulusnya saya mendoakan yang terbaik untuk persahabatan kami. Saya rasakan limpahan kasih sayang bertambah pada mereka. Mereka yang mempunyai keletah, perangai dan kelakuan yang menceriakan hari-hari saya. Mereka yang ALLAH titipkan hadir dalam hati. Hadir untuk saya merasai dan mempelajari sepenuhnya erti kehidupan ini.


Saya mungkin juga telah ketemu jawapan pada setiap soalan saya dahulu. Soalan yang bukanlah penyesalan atas pilihan sendiri berada di samping mereka, mahupun kerelaan hati. Persoalan yang menjadikan saya lemas dengan soalan yang sama. Klise. Persoalan itu yang semuanya menuntut saya pada kesabaran. Sabar dalam menghadapi apa jua mehnah dan tribulasi. Sabar dalam menghadapi hari-hari bersama mereka semua.


Biarpun saya akui perbezaan yang wujud antara saya dahulu dan kini, hanya mungkin saya yang mengerti. Sesekali menyelongkar rahsia hati, saya sekadar tersenyum. Pilihan yang Allah tetapkan dan hikmah yang saya kendong kini merupakan satu suntikan kepada saya merasai kasih sayang ALLAH.


Persoalan yang terwujud pada benak kini tinggal kosong, terisi dengan hikmah yang amat mendalam. Hikmah atas kewujudan saya di tengah-tengah mereka dan hikmah atas pemilihan keberadaan saya bersam-sama mereka. Mereka racun dan merekalah penawar saya.


Dan semster 3 ini bakal berlalu. Saya senang bersama kalian semua. Yang sentiasa berada di hati. Ada harapan-harapan saya yang masih saya pendamkan pada kalian semua duhai sahabat. Harapan pada sama-sama melakukan perubahan. Harapan pada sama-sama mengejar kebaikan. Harapan pada sama-sama mencari redho-NYA.


Mungkin malam itu merupakan satu titik mula bagi kita semua. Bagi merasai kemanisan dalam persahabatan perlunya ada pengorbanan. Titik mula untuk semua merasai ukhwah berlandaskan Islam dan Iman.


Terima kasih pada mereka yang pernah hadir dengan senyuman pada saya. Yang pernah datang kerana kritikan dan sindiran, dan yang bersama dalam perjuangan beroleh kejayaan. Terutama pada mereka yang menjadi penasihat terbaik saya melalui kritikan dan sindiran- terima kasih kerana menyedarkan saya bahawa saya tidak berada dalam zon yang selesa dan mengingatkan saya bahawa saya juga manusia. Kepada teman-teman yang sentiasa memberikan manisnya senyuman- ada kata-kata untuk saya yang tidak diluahkan- maka luahkanlah. Insyaallah, akan saya lapangkan rasa hati dan terima seadanya kata-kata itu.


Pada teman-teman yang merasai pahitnya berjuang bersama- menyelesaikan tugasan mahupun mencipta kejayaan- penghargaan untuk anda kerana memahami saya seadanya saya. Kerana saya juga manusia dan di mana sahaja anda meletakkan diri anda- semuanya tetap dalam hati saya.


Kita semuanya tiada masa untuk membenci. Masa itu memberi peluang untuk saya menghargai setiap kata-kata dan perbuatan sepanjang persahabatan yang terjalin ini.


Masa itu yang telah mempertemukan dan akan memisahkan. Masa kita amat terhad kita tak pernah bersyukur atas kehadirannya. Kerana masa itu telah tertakluk pada kekuasaan ALLAH. Masa itu jua ciptaan ALLAH. Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Dan saya mengharapkan pemberian pada setiap kata-kata dan harapan saya disemat jua dalam hati kalian. Pada kesempatan dan masa yang telah berlalu juga- pohon kemaafan pada setiap butir bicara dan tingkah perbuatan.




Kak Nurul Sayang Semua.....