Wednesday, August 24, 2011

MENJADI MURABBI

MENJADI MURABBI…

“Apakah cikgu rasa, cikgu ikhlas dalam mendidik?”

“Bagaimanakah cara terbaik untuk mendidik anak-anak murid agar mengenal pencipta-NYA melalui subjek KT dan PSK?”

“Mengapakah cikgu tidak mengaplikasikan kenal pencipta dan kebesaran-NYA dalam subjek yang cikgu pelajari?”

“Di manakah silapnya apabila cikgu mengajar PSK sedangkan murid-murid masih kurang adab dan melawan bukan sahaja guru bahkan ibu bapa?”

Serasa yang berada jauh dalam hati saya soalan itu yang saya mahu tanyakan kepada guru-guru yang mengajar subjek selain Pendidikan Agama Islam. Bertanyakan bagaimana untuk menjadi seorang guru yang sebenar guru. Bukan sekadar pengajar dan pendidik. Jauh sekali sekadar mengenalkan mereka kepada alam dunia dan bukannya akhirat.

Berat benar kerja seorang guru. Diakui sendiri oleh pakar yang berpengalaman. Bahkan saya percaya jika seorang Menteri Pelajaran pun turun menjadi guru selama seminggu, beliau akan mengakuinya. Dengan sendirinya. Bahkan kerja-kerja yang diberikan bukan sekadar tugas mengajar. Rutinnya seorang guru, datang pagi ke sekolah, mengajar, menyusun segala fail, menanda buku latihan, menguruskan stor sukan(bagi guru PJ), mengurus perpustakaan dan pusat sumber, kerja-kerja panitia, surat-menyurat, menjaga keselamatan murid-murid, menjaga waktu makan ketika RMT di awal pagi dan banyak lagi kerja-kerja guru. Bebanan yang datang bertindih-tindih. Sehingga sesekali guru mengeluh, terasa sudah terbang keikhlasan yang pada mulanya datang menerjah sewaktu awal posting bergelar guru. Oh!

Kadang-kadang saya takut realiti alam pekerjaan. Melihat tekanan beban guru yang sarat. Terasa seperti saya akan mengambil tempat guru-guru tadi. Yang mengajar bukan berpaksikan keikhlasan lagi. Sudahnya kerja seorang guru tidak dijalankan sebagai amanah tetapi sebagai bebanan. Cukuplah sekadar kerja bagi melepaskan penat dan lelah untuk mendapat wang gaji di hujung bulan. Mengisi tampung perut dan keperluan diri dan keluarga. Oh! Saya bukan malaikat mahupun tuhan yang pandai menilai keikhlasan manusia, Cuma saya merasa ralat dan takut sendiri. Andai, sekiranya saya mengulang kembali watak-watak lakonan guru-guru yang merasakan terbeban dengan tugas guru yang sangat-sangat. Putaran roda bumi ini bulat, lagi risau saya mengambil tempat mereka. Allah…

Tersasar jauh saya menulis. Saya sebenarnya perlu menulis tentang persoalan-persoalan di atas. Siapa yang mahu menjawabnya? Soalan yang terus-terusan bersiponggang dalam benak kepala saya. Menambahkan kerisauan saya. Menghadam sukatan subjek KT dan PSK yang pelbagai. Bagaimana mahu menerapkan elemen kenal dan cinta kepada Allah dan Rasul-NYA?

Bagaimana? Terasa bahagia melihat seorang ustazah mengajar murid-murid di surau sekolah. Mengajar tajwid, nun sakinah bertemu dengan ya. Memang menyeronokkan. Ustazah yang berjaya menarik perhatian dan minat murid-muridnya. Saya cuma senyum di luar dan di dalam hati. Bahagia rasanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:


“ Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”
(Riwayat al-Bukhari)

“Mengapa memilih Pengajian Sosial, bukan Pengajian Agama?” seorang guru bertanya. Soalan yang ingin sekali saya elakkan, kalau boleh. Atau soalan yang berangkali cuba saya simpan dengan kedap. Sekedap saya simpan biskut dalam balang kuih raya. Tapi makin kedap makin selalu dan kerap orang bertanya. Walaupun saya telah melalui 3 tahun setengah mendalami ilmu Pengajian Sosial. Saya cuma senyum. Paling tidak jawapan saya ialah senyum juga.

“Lagak berpakaian sudah menepati kriteria. Cara cakap sudah memenuhi sukatan, ingatkan ustazah tadi.” Seorang guru lelaki mengusik dan saya cuma senyum. Amin. Amin. Sehingakan panggilan ustazah tersebut lekat dipanggil beberapa orang sahabat. Saya acapkali memujuk diri. Bukan merajuk tetapi terasa hikmah yang ALLAH berikan pada saya terlalu banyak dan besar. Hikmah itu mungkin tidak dirasai dan diketahui umum. Hanya saya yang merasainya. Hanya saya yang tahu. Allah berikan secara yang paling halus saya rasa. Sehingga saya tak dapat nyatakan sebab mengapa pemilihan saya dalam pengajian Sosial tersebut adalah perancangan ALLAH yang paling baik buat saya. Saya tak dapat nyatakan dengan kata-kata. ALLAH lebih mengetahui di mana sesuainya saya berada. Tahap manakah saya ini. Ujian bagaimanakah yang perlu diberikan. Ringankah, beratkah. Itu semua rahsia ALLAH. Dan saya REDHO dengan ketentuan ini. Dan saya tahu setiap yang berlaku BAIK untuk saya.

Adakah murabbi itu hanya layak untuk seorang ustaz dan ustazah? Formulanya, saya sedang mencari diri untuk menjadi seorang guru yang didalamnya punya nilaian terbaik di sisi ALLAH. Seorang guru yang bukan sahaja mengajar dan mendidik. Bukan sahaja berpenat lelah menjalankan kerja-kerja pengkeranian sepanjang masa sepanjang tahun. Tetapi seorang guru yang mengenalkan murid-muridnya agar mencintai ALLAH dan RASUL-NYA. Saya masih lagi dalam proses untuk merasai dan mendalami jiwa seorang guru. Realiti guru yang biasa cuba saya elak dari meresapi diri saya. Saya tidak bercita-cita untuk hanya menjadi guru tetapi juga murabbi. Oh, memang senang untuk menyatakan teori namun praktikalnya terasa jauh lagi.

***Insyaallah saya ustazah pada anak-anak saya. =))