Wednesday, October 27, 2010

DI HUJUNG-HUJUNG SEMESTER ....



DI HUJUNG-HUJUNG SEMESTER……

Assalammualaikum….

Di semester yang hujung-hujung. Apa yang anda fikirkan? Adakah Exam? Cuti? Ataupun program-program yang semakin padat. Ketika menyelak diari merah hati saya, adalah kepadatan jadual yang bersusun-susun….

Banyak perkara yang berlaku di sekeliling saya- banyak. Kem Pemantapan Nuqoba’, Kedatangan Syeikh Jamal Farouq di Surau Al-Ghazali IPG KTB, peperiksaan UAK Matematik(yg tertangguh) dan program-program yang telah berlalu semuanya hanya disimpan dalam hati dan jiwa. Saya mahu bercerita sebenarnya. Perkongsian! Itu yang mahu saya lakukan di ruangan hijau murni ini. Sekurang-kurangnya saya berkongsi…..

Tetapi saya tidak dapat menceritakan dengan ketukan-ketukan papan kekunci di laptop saya. Sedangkan saya dapat melakukannya dahulu… Entahh….

Saya baru melepasi fasa ketukan hati yang perlahan tetapi hebat. (wah! Ayat ni biar sahaja sy yg faham). Semalam ketika berlari-larian ke Penangguhan Usroh Murabithoh bersama adik-adik, saya banyak berfikir. Atau sebetulnya pemikiran saya makin dijana kerana saya memang manusia jenis berfikir. Hurm…





Bersama adik-adik TESL 2, adik-adik SAINS dan adik-adik MURABITHOH 1/2, menjadikan saya seorang yang memikirkan. Semalam sahaja saya melalui fasa 3 usroh yang dijalankan serentak menuntut komitmen saya sebagai naqibah. Lalu saya katakan saya cuba memenuhi setiap lapangan. Ya! Memang saya penuhi setiap undangan.

Biarpun bukan saya seorang yang menjadi mas’ulah kelas terbabit tetapi saya merasakan kewajaran saya untuk mengisi setiap lapangan yang telah dibina. Tidak pula saya mengatakan keluhan tetapi hati saya amat terusik ketika saya menyelak kembali apa yang saya lakukan semalam. Tayangan video Murabithoh sangat menarik- benar-benar terkesan. Seperti memujuk saya agar kembali bangun daripada jatuh.. dan terus menerus dengan kerja lapangan yang makin menuntut komitmen yang bukan sedikit. Ah! Terima kasih buat adik2 MU yang memahami gelojak hati saya.

“{Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar}.

“{ Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat(maksudnya mencari ilmu pengetahuan dan berjihad;ada yang menafsirkan dgn org yang berpuasa), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat Munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.}”
(Suroh At-taubah; 111;112)


Ketika saya terjun dalam arena ini, saya sudah kuatkan azam dan tekad. Saya katakan pada diri bahawan komitmen merupakan perkara penting yang perlu diisi. Sebenarnya ianya bukan sekadar komitmen, bahkan amanah! Sebagai mata-mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W. Saya katakana lagi bahawa komitmen ini perlukan pengorbanan. Pengorbanan yang bukan sedikit. Harta, jiwa, masa, tenaga, airmata bahkan juga sehingga tahap mengorbankan nyawa. Itu saya tahu dan faham. Sedar dan jelas bahkan saya melalui satu proses tarbiyah yang panjang. Amat!

Jika anda bertanya kenapa jalan ini pahit dan sukar? Saya akan katakan bahawa Syurga itu manis! Saya seharusnya bersyukur terpilih melalui jalan panjang dan berduri ini. Malah saya dengan tekad dan redho menerima jalan ini sebagai jalan perjuangan saya. Seawal saya mengenali sebuah kehidupan. Seawal saya mengenali dunia usroh, tarbiyah dan dakwah. Ketika seorang kawan bertanya;

-Mengapa perlu sibuk-sibukkan diri. Duduk sahaja di bilik….
-Tak larat memikirkan masalah sendiri, pastu nak piker masalah orang pulak….
-Tak ada masa......
-Dunia saya akademik sahaja….
-Tak mahulah! Tak larat dengar orang dok mengata. Buat kerja baik tapi orang ngata jugak…

Maaf. Saya tak dapat terima alasan tersebut. Sekali saya melangkah saya tidak akan berundur. Biarpun penuh fitnah, umpat keji, cacian, makian dan sebagainya, akan saya telan dengan perlahan-lahan. Malahan saya seharusnya malu dengan sirah Nabi Muhammad S.AW. ketika menyampaikan dakwah baginda. Saya amat malu. Malulah ketika membaca sirah nabi dalam perjuangan baginda. Betapa akhlak yang baik ditunjukkan dalam setiap perbuatan dan tingkah laku biarpun digasak dan ditentang oleh kafir Quraisy.

Insyaallah. Ujian itu sangat manis. Rasakanlah sahabat-sahabat- saat ujian menerpa dan pergantungan pada ALLAH itu tinggi dan amat manis. Saya sudah berada di dalam landasan yang benar lagi haq! Insyaallah! Saya pasti itu. Bukan saya tidak pernah menerima penolakan. Umpatan itu biasa. Malahan manusia mencari dan menjaja keburukan saya juga pernah. Bukan saya tidak tahu dan bukan saya berburuk sangka. Tetapi hakikat- yang perlu saya perhatikan.

Oh! Ya, Terima Kasih kepada mereka yang sentiasa menyindir dan memerli saya atas kesalahan-kesalahan saya yang dicari. Terima kasih juga kerana meminta saya memikirkan banyak kali agar tidak sibuk di jalan perjuangan ini. Terima kasih kerana penolakan-penolakan kalian dalam mencari sebuah kebenaran.
Saya amat menghargainya. Sekurang-kurangnya saya sedar bahawa saya masih lagi insan. Pelupa. Saya masih lagi hamba kepada-NYA. Allah mengutuskan kalian diwaktu yang tepat sebagai teguran dan penasihat terbaik buat diri saya. Dan insyaallah saya ambil kata-kata kalian sebagai memperbaiki diri yang lemah ini.

Yang pasti saya akan istiqomah di jalan ALLAH ini. Insyaallah. Tekad saya sudah bulat.
“Ya, Allah tetapkanlah hatiku di jalan perjuangan-MU. Ya Allah, beri aku kekuatan dan ketabahan. Ya Allah, tuhan yang membolak balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu. Matikan aku dalam nikmat Iman, Islam dan dalam perjuangan menuju kepada-Mu. Amin”



Friday, October 15, 2010

AL- FATIHAH 2


AL-FATIHAH -2
((AHMAD SYAMIL BIN BASRI – dalam doa dan ingatan))


Berita pemergian seorang sahabat dan juga adik yang sealiran batch dengan saya menangkap jantung saya dalam debaran. Ah! Baru siang tadi ketika di dalam kelas saya memerhatikannya. Saya yang biasa di tepi tingkap memerhati mereka yang lalu lalang amat lain menangkap sosok tubuhnya dari belakang. Dia yang melepasi kelas saya dengan memakai baju batik maktab. Sosok tubuhnya saya amati dengan perlahan lalu sehingga kelibatnya hilang di tangga hujung Jabatan Kajian Sosial.



Itu cerita siang tadi, ketika entah kenapa mata saya jatuh ke sosok tubuhnya. Terdetik hati saya, Syamil yang suka mengusik teman-temannya. Syamil yang kuat mengusik dengan gaya keanak-anakan. Dia seperti adik-adik yang kuat mengusik dan saya hanya menggeleng dengan usikannya. Saya cuma memerhati siang tadi. Baru tadi teman sebilik saya pulang, menceritakan dengan sebak. Saya cuma diam dan hati saya beristighfar. Saya baru sahaja meneroka gambar-gambar ketika kami bersama-sama menjalankan kajian di Pos Brooke Gua Musang petang tadi. Melihat dan menyusun folder gambar yang bersawang dan berterabur dalam kolum D saya. Dan malamnya saya mengetahui hakikat kebesaran ALLAH...

Saya mencari dan ketemukan kembali gambar ini.....



(gambar ini ketika di Pos Brooke diambil oleh saya-

Syamil yang duduk berbaju Hijau putih)



Kami satu team menemuramah Tok Batin

(Syamil berjaket merah ditengah)



Mungkin sukar untuk saya terjemahkan perasaan ketika ini. Apatah lagi rakan-rakan sekelasnya yang baru sahaja bertemu. Bersembang dan bercerita bersama-sama. Saya dapat menangkap air muka teman-teman sekelasnya. Sha yang baru bertandang ke bilik saya juga masih menakung air mata.Teman sebilik saya, Amira juga begitu. Terkejut dan terkelu.


Kita hanya merancang, dan ALLAH juga merancang, namun sebaik-baik perancangan itu adalah daripada Allah. Allah menetapkan sebuah kematian yang akan dirasai oleh setiap insan di muka bumi ini. Kematian itu haq(benar) dan pasti! Sesudah kehidupan pasti akan tiba jua kematian. Tidak kiralah berapa usianya, tua atau muda atau dimana sahaja. Kematian pasti akan menjemput kerana ia adalah awal daripada satu perjalanan panjang dalam kehidupan manusia.

Firman Allah S.W.T.:

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan
bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang
dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka
sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya
dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. - Aali
‘Imraan (3) : 185

Saya tiba-tiba terkenangkan pemergian seorang sahabat ketika di maahad dahulu. Sahabat seusroh yang akrab. Biarpun berlainan kelas, kami bertemu dan berukhwah dalam halaqoh usroh. Manis berukhwah dalam usroh. Manis juga mengenangkan peristiwanya…. Biarpun dia pergi mendahului terasa manis senyumannya dalam ingatan saya.

Hafizah! Saya masih terkenangkan nama itu. Yang sentiasa membawa ingatan saya dekat pada kematian. Yang perkhabaran pemergiannya masuk ke gegendang telinga saya ketika saya mengayuh basikal ke sekolah, dan ditahan oleh Kakak Naqibah saya. Sepertimana diamnya saya dan menggigil seluruh badan.

Firman Allah S.W.T.:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang
kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan
menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang
nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu
telah lakukan (serta membalasnya)". - Al-Jumu’ah (62)
: 8

Saya masih teringat ketika saya berteleku seharian di surau maahad. Mentadabbur dan meneliti satu persatu tafsir surah yasin. Dan hati saya cepat menangkap tiga potong ayat daripada Surah Yasin yang bermaksud ;


“Dan mereka berkata:’Bilakah (terjadinya) janji ini (hari berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?’(48) Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar(49) Lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiatpun dan tidak pula dapat kembali kepada keluarganya.”
(Suroh Yasin; 48,49,50)



Ayat inilah yang sentiasa mengikuti setiap pergerakan saya. Ketika menangkap berita kematian. “Lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiatpun dan tidak pula dapat kembali kepada keluarganya.”

Tiadalah sempat untuk saya berpesan apatah lagi berwasiat. Saya juga tidak tahu masanya yang tepat untuk saya menghadap-NYA. Saya selalu memikirkannya, kesempatan yang ada untuk saya terus membuat kebajikan. Kesempatan yang ada untuk saya menebarkan kasih sayang. Kesempatan yang ada untuk saya memberi dan meminta kemaafan daripada semua….


Firman Allah bermaksud: “Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Munafiqun: Ayat 11)

Sesungguhnya apabila kematian datang menjenguk seseorang, tanah dan pasir akan menjadi tempat peraduannya. Munkar dan Nankir akan menjadi temannya. Liang lahad menjadi tempat tinggalnya. Hari kiamat menantinya dan syurga dan neraka adalah pilihan tempat destinasinya.


Semua insan-insan yang mendahului telah menjadi pengajaran yang besar buat saya. Ingatan-ingatan pada kematian sangat hampir. Tiadalah yang dapat melunakkan hati melainkan memikirkan perihal kematian dan sakaratul maut.


Firman Allah S.W.T.:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan
anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan
menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa
yang melakukan demikian, maka mereka itulah
orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu
sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut
kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan
merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah
baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku
- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku
dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari
orang-orang yang soleh". Dan (ingatlah), Allah tidak
sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau
sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan
Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala
yang kamu kerjakan. – al-Munaafiquun (63) : 9-11






- semoga roh Allahyarham Ahmad Syamil bin Basri dicucuri rahmat ALLAH S.W.T-

AMIN....

AL-FATIHAH 1

Al-Fatihah… 1

(AHMAD SYAMIL BIN BASRI – dalam doa dan ingatan)

Ketika ralit di meja komputer di waktu akhir Maghrib, terdengar bunyi tapak kaki kuat dari luar bilik. Hani menerpa. Saya kaget, terkejut. Hani cepat-cepat masuk bilik saya dan meminta maaf. Habis diselongkar laptop teman sebilik saya. Tangannya terketar-ketar dan dadanya berombak-ombak.

“Syamil …kaknurul. Syamil.” Saya diam. Keliru. Dalam tangannya cepat membukan laptop dia bercerita. Syamil accident, sekarang tenat. Innalillaji wainna ilaihi raji'un...... hati saya berdesip.
“Nak cari nombor telefon emaknya dalam laptop Amira..” Hani cakap cepat-cepat sambil buka laptop.

Tiba-tiba Fatin menerpa. Tidak seperti Hani yang masih tenang, fatin sudah menangis, teresak-esak. Ketika itu dia sedang bercakap di telefon. Saya tak pasti butir bicaranya. Yang pasti dia sedang bercakap dengan roommate saya.

Hani: Nak password komputer.
Fatin: (sedang memegang telefon dan menagis teresak-esak)- Password Mira….Password…
Password diterima dan laptop dibuka. Tangan Hani masih terketar-ketar. Fatin masih lagi menangis. Saya sekadar menepuk-nepuk belakang Fatin.

Fatin: Ada tak.. ada tak… kalau tak aku cari di bilik

Hani; Tak jumpa,.. file mana…?

Saya: Duduk di sebelah Hani dan ambil posisi membantu. Fail yang
dicari tak dijumpai. Tiada senarai nama waris di senarai nama KS 1. Yang ada cuma senarai nama dan No I/C. Saya menyelongkar semua file dalam laptop Amira. File excel petuanya.. tapi masih tak jumpa jugak. Puas ditelefon nombor semua yang mengenali Syamil, kalau2 tahu nombor emak atau ayahnya.

Buku Kedatangan? Di dalam bilik seorang kawan lain yang tiada di dalam biliknya. Semuanya cepat berlalu. Sudahnya Fatin berlari ke bawah dan mencari di dalam laptopnya.

Fatin: Aku dah jumpa..

Tup! Panggilan putus… Hani berlari pantas keluar..
Saya diam terkelu…..

5minit kemudian, mesej pertama, kedua, ketiga… masuk
Al-fatihah- buat syamil 2pismp ks yang selamat kembali ke rahmatullah. Accident di BKE.. sebarkan.

Saya terdiam. Saya keluar bilik. Saya lihat blok sepi. Seperti bertafakur sebentar. Semua yang ada keluar di koridor. Siapa yang tidak tahu masih tertanya-tanya. Adik-adik sekelas yang berdiri di hadapan koridor pintu bilik, saya lihat mengesat air mata. Saya diam lagi.
Bersama Syamil ada lagi seorang kawan se”batch” Fathi. Guru pelatih PJ yang juga rakan gerko bola tampar saya yang masih lagi tenat. Khabarnya telah dipindahkan dari Hospital Kulim ke Seberang Jaya. Masih tidak sedarkan diri.

Saya turun ke bawah ke bilik Ustazah Amanisah.. Ada Alang dan Filzah. Dan selepas makluman kepada ustazah dan announcement dilakukan kami berkumpul di bilik TV Blok Gemilang bagi bacaan yaasin dan tahlil…..

Roomamate saya baru sahaja pulang. Amira rakan sekelasnya ;juga rakan sealiran batch dan opsyen Kajian Sosial bersama –sama saya di IPG KTB ……….. Ahmad Syamil Basri telah pulang ke rahmatullah…..

AL-FATIHAH