Wednesday, June 27, 2012





CERMIN AZIMAT

Cerminanku yang retak
Kau jahiti dengan senyuman
Bicaramu yang lunak
Penawar bagi luka dalam
Tika sirnanya cahaya dan tiba hujan gerimis
Kalammu adalah pelangi                                                                 
Bagai pohon azimat buat aku naungi
disunyi hari

Andai kau tinggalkan aku
Pada sekujur jasad dan tiada nyawa
Tulus bicaramu..
“Aku cuma cerminanmu,
yang kutampal adalah kekurananku,
Kerana janji kita
Berteduh hingga kita gapai naungan dari-NYA
Nyata aku milik ALLAH, jua dirimu milik-NYA,”


“Andai cerminanmu berderai dan aku tiada,
suluhlah di pintu rahmat-NYA
berpautlah di teduhan dahan cinta-NYA
Kerana kau penyambung mata-mata rantai perjuangan
Hingga tiba jejakku kau langkahi jua..
Aku menantimu di pintu Firdausi, sahabat!”

-nur-lunas-12.35a.m


Wednesday, August 24, 2011

MENJADI MURABBI

MENJADI MURABBI…

“Apakah cikgu rasa, cikgu ikhlas dalam mendidik?”

“Bagaimanakah cara terbaik untuk mendidik anak-anak murid agar mengenal pencipta-NYA melalui subjek KT dan PSK?”

“Mengapakah cikgu tidak mengaplikasikan kenal pencipta dan kebesaran-NYA dalam subjek yang cikgu pelajari?”

“Di manakah silapnya apabila cikgu mengajar PSK sedangkan murid-murid masih kurang adab dan melawan bukan sahaja guru bahkan ibu bapa?”

Serasa yang berada jauh dalam hati saya soalan itu yang saya mahu tanyakan kepada guru-guru yang mengajar subjek selain Pendidikan Agama Islam. Bertanyakan bagaimana untuk menjadi seorang guru yang sebenar guru. Bukan sekadar pengajar dan pendidik. Jauh sekali sekadar mengenalkan mereka kepada alam dunia dan bukannya akhirat.

Berat benar kerja seorang guru. Diakui sendiri oleh pakar yang berpengalaman. Bahkan saya percaya jika seorang Menteri Pelajaran pun turun menjadi guru selama seminggu, beliau akan mengakuinya. Dengan sendirinya. Bahkan kerja-kerja yang diberikan bukan sekadar tugas mengajar. Rutinnya seorang guru, datang pagi ke sekolah, mengajar, menyusun segala fail, menanda buku latihan, menguruskan stor sukan(bagi guru PJ), mengurus perpustakaan dan pusat sumber, kerja-kerja panitia, surat-menyurat, menjaga keselamatan murid-murid, menjaga waktu makan ketika RMT di awal pagi dan banyak lagi kerja-kerja guru. Bebanan yang datang bertindih-tindih. Sehingga sesekali guru mengeluh, terasa sudah terbang keikhlasan yang pada mulanya datang menerjah sewaktu awal posting bergelar guru. Oh!

Kadang-kadang saya takut realiti alam pekerjaan. Melihat tekanan beban guru yang sarat. Terasa seperti saya akan mengambil tempat guru-guru tadi. Yang mengajar bukan berpaksikan keikhlasan lagi. Sudahnya kerja seorang guru tidak dijalankan sebagai amanah tetapi sebagai bebanan. Cukuplah sekadar kerja bagi melepaskan penat dan lelah untuk mendapat wang gaji di hujung bulan. Mengisi tampung perut dan keperluan diri dan keluarga. Oh! Saya bukan malaikat mahupun tuhan yang pandai menilai keikhlasan manusia, Cuma saya merasa ralat dan takut sendiri. Andai, sekiranya saya mengulang kembali watak-watak lakonan guru-guru yang merasakan terbeban dengan tugas guru yang sangat-sangat. Putaran roda bumi ini bulat, lagi risau saya mengambil tempat mereka. Allah…

Tersasar jauh saya menulis. Saya sebenarnya perlu menulis tentang persoalan-persoalan di atas. Siapa yang mahu menjawabnya? Soalan yang terus-terusan bersiponggang dalam benak kepala saya. Menambahkan kerisauan saya. Menghadam sukatan subjek KT dan PSK yang pelbagai. Bagaimana mahu menerapkan elemen kenal dan cinta kepada Allah dan Rasul-NYA?

Bagaimana? Terasa bahagia melihat seorang ustazah mengajar murid-murid di surau sekolah. Mengajar tajwid, nun sakinah bertemu dengan ya. Memang menyeronokkan. Ustazah yang berjaya menarik perhatian dan minat murid-muridnya. Saya cuma senyum di luar dan di dalam hati. Bahagia rasanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:


“ Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”
(Riwayat al-Bukhari)

“Mengapa memilih Pengajian Sosial, bukan Pengajian Agama?” seorang guru bertanya. Soalan yang ingin sekali saya elakkan, kalau boleh. Atau soalan yang berangkali cuba saya simpan dengan kedap. Sekedap saya simpan biskut dalam balang kuih raya. Tapi makin kedap makin selalu dan kerap orang bertanya. Walaupun saya telah melalui 3 tahun setengah mendalami ilmu Pengajian Sosial. Saya cuma senyum. Paling tidak jawapan saya ialah senyum juga.

“Lagak berpakaian sudah menepati kriteria. Cara cakap sudah memenuhi sukatan, ingatkan ustazah tadi.” Seorang guru lelaki mengusik dan saya cuma senyum. Amin. Amin. Sehingakan panggilan ustazah tersebut lekat dipanggil beberapa orang sahabat. Saya acapkali memujuk diri. Bukan merajuk tetapi terasa hikmah yang ALLAH berikan pada saya terlalu banyak dan besar. Hikmah itu mungkin tidak dirasai dan diketahui umum. Hanya saya yang merasainya. Hanya saya yang tahu. Allah berikan secara yang paling halus saya rasa. Sehingga saya tak dapat nyatakan sebab mengapa pemilihan saya dalam pengajian Sosial tersebut adalah perancangan ALLAH yang paling baik buat saya. Saya tak dapat nyatakan dengan kata-kata. ALLAH lebih mengetahui di mana sesuainya saya berada. Tahap manakah saya ini. Ujian bagaimanakah yang perlu diberikan. Ringankah, beratkah. Itu semua rahsia ALLAH. Dan saya REDHO dengan ketentuan ini. Dan saya tahu setiap yang berlaku BAIK untuk saya.

Adakah murabbi itu hanya layak untuk seorang ustaz dan ustazah? Formulanya, saya sedang mencari diri untuk menjadi seorang guru yang didalamnya punya nilaian terbaik di sisi ALLAH. Seorang guru yang bukan sahaja mengajar dan mendidik. Bukan sahaja berpenat lelah menjalankan kerja-kerja pengkeranian sepanjang masa sepanjang tahun. Tetapi seorang guru yang mengenalkan murid-muridnya agar mencintai ALLAH dan RASUL-NYA. Saya masih lagi dalam proses untuk merasai dan mendalami jiwa seorang guru. Realiti guru yang biasa cuba saya elak dari meresapi diri saya. Saya tidak bercita-cita untuk hanya menjadi guru tetapi juga murabbi. Oh, memang senang untuk menyatakan teori namun praktikalnya terasa jauh lagi.

***Insyaallah saya ustazah pada anak-anak saya. =))

Thursday, May 5, 2011

Kerinduan pada Baginda S.A.W

Qasidah.. alunan terapi jiwa yang indah. Terasa bait-bait yang disampaikan masuk ke jiwa satu-persatu. Rindu pada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W..
Di sini kutemukan cinta. Cinta pada Rasulullah. Rindu pada Rasulullah. Hakikat mengenal makna dan erti seorang hamba. Awal agama adalah mengenal ALLAH.

Malam ini bersama dalam satu majlis penuh mehabbah. Kalam2 indah dari wali-wali ALLAH. Senandung qasidah yang mengiringi menjuntaikan mutiara-mutiara bening dari kelopak mata yang mengandung rindu dan cinta yang sarat.


INQILAZURTUM..

Wahai Allah! Limpahkanlah rahmat atas
Nabi Muhammad S.A.W, Wahai Tuhanku!
Limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan
ke atas baginda S.A.W.

Jika dikatakan: Apakah yang kamu bawa
pulang selepas menziarahi makam Nabi S.A.W?
Wahai semulia-mulia makhluk!
Apakah yang perlu kami jawab?

Katakanlah: Kami kembali dengan
membawa segala kebaikan; Dan telah
berhimpun generasi dahulu dan sekarang.

Kalau bukan keranamu, wahai hiasan dunia
(Nabi Muhammad S.A.W)
Nescaya tidak bahagia hidup dan
kewujudanku

Dan tidaklah aku beribadat melalui
sembahyangku; di dalam rukuk mahupun
sujud.

Wahai malam (kelahiran Rasulullah S.A.W) yang
penuh keredhaan Ilahi!
Berulanglah agar menjadi tenteram jiwaku.

Datanglah semula dengan segala kebaikan;
Dengan berkata al-MUstafa; yang mulia
keturunannya.

Demi Allah! Sampaikanlah aku kepada
tebusan jiwaku (Nabi Muhammad S.A.W)
Aku bimbang dan sedih kiranya tidak dapat
syafaatmu.

Aku hamba yang sangat cinta pada
hadratmu; hari dapat bertemu denganmu;
adalah hari rayaku..

Kami akhiri dengan selawat ke atas Nabi
kami; Dan keluarganya yang kuat rukuk dan
sujud



(ini merupakan terjemahan kepada salah satu qasidah-
mendengar, membaca dan menghayati maknanya membuatkan mata berkelopak menakung rindu dan gugur sebagai aliran sungai yang suci dan mulus..
Moga ianya menjadi saksi kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W... amin

Tuesday, April 5, 2011

BERKATA JUJURLAH!

J.U.J.UR
Itu adalah beban
Terpikul berat bukan ringan
Terlekat di kerongkongan
Tersepit dengan kekangan
Terejam dengan kenyataan

J.U.J.U.R
Itu adalah pahit
Rasa madu yang kelat
Lidah yang bernanah
Dengan bising yang bisu
Diam yang sakit

J.U.J.U.R
Itu adalah penawar
Biar parah kejujuran dinyatakan
Kerana punya kasih sayang
Punya kebenaran..

J.U.J.U.R
Itu kuterima, kutelan dan kuhadam
Kerana nilai yang berharga
Jua jujur yang kusimpan
Telah kuterjemah dengan kata-kata….


katakanlah YANG BENAR.. walaupun PAHIT!

Thursday, February 3, 2011

SAYA DAN CUTI SEMINGGU

Assalammualaikum…
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

DANAU TOBA DAN MEDAN


Alhamdulillah. Saya mengucapkan syukur yang teramat. Kami tiba dengan pesawat Air Asia di Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang tepat jam 8.35 waktu Malaysia semalam. Saya dan keluarga baru pulang dari Medan. Ternyata pengalaman mengenali penduduk Medan serta menikmati nikmat anugerah alam ciptaan ALLAH di Tasik Danao Toba sungguh memukau. Saat detik kali pertama penerbangan pergi sehingga ketibaan semula di Malaysia merupakan kenangan dan pengalaman yang sangat berharga. Yang penting sekali perjalanan ini mengajar saya betapa erti syukur yang teramat sangat. Bersyukurlah saya dilahirkan di tanah air tercinta Malaysia. Bersukurlah saya dilahirkan sebagai anak ayah dan ibu dan saya bersyukur atas nikmat terbesar IMAN dan ISLAM yang ALLAH berikan semenjak azali lagi. Dan saya merasa cukup bertuah. Maka bersyukurlah! ALHAMDULILLAH….

Saya tak akan mengulas panjang. Perjalanan ke Danau Toba dan Medan memang jauh dan panjang. Pengalaman baru saya rasai setiap detik. Belajar mengenai kehidupan dan masyarakat. Pemerhatian saya tidaklah setajam mana namun saya punya hati yang berkata-kata dan berbisik-bisik. Saya masih teringat pesanan Pak Din di MPR catatlah setiap apa yang dirasai dan terlintas di hati apabila kita melihat dan merasa. Entah kenapa saya berasa rinsu untuk menulis. Bukan bermakna saya tidak pernah merasai sesuatu ketika berjalan sepanjang kehidupan berlalu tetapi kerana fikiran saya kaku dan tangan saya kelu. Lidah saya masih fasih bercerita. Tangan saya keras…keras..

Saya baru sedar bahawa sudah lama saya meninggalkan alam penulisan. Sebenarnya saya bukanlah penulis pun. Saya jarang tak pernah menulis sajak. Apatah lagi cerpen. Novel? Oh! Jauh sekali. Saya Cuma sisipan kecil peminat setia ruangan sastera dan selebihnya saya hanya membaca. Membaca dan membaca. Sungguh! Dahulu saya amat minat membaca. Menjadi gila dengan membaca. D.A.H.U.L.U .

SEKARANG? Jangan ditanya sekarang. Entah mengapa saya semacam tidak punya waktu untuk membaca. Padat dan sesak. Sepertimana sesaknya almari tiga tingkat yang setinggi saya dan dipenuhi buku-buku yang tidak dibaca. Buku baru. Wah! Saya sduah tidak menulis, membaca apatah lagi.. tapi saya amat kecanduan membeli buku-buku yang berada di pasaran sehingga saya sendiri takut melihat tabiat saya. Ibu yang menyedarinya telah memberhentikan kecanduan saya dalam emmbeli buku-buku bacaan kegemaran sama ada ilmiah mahupun novel-novel sarat islami dan kontemporari.

MEMBAZIR


“Jangan buku tu melaknat kamu sudahlah. Membazir sahaja, bukunya tidak juga dibaca.” Aduhai. Sudahnya tarikan membeli buku menjadi hambar. Saya begitu juga. Ada elaun dan duit tak kira cukup atau tidak, tujuannya cumalah buku. Buku dan kitab-kitab. Semuanya saya beli juga. Cuma tahap kecanduannya saya kurangkan dan bukunya saya tinggal di asrama sahaja. Risau ibunya membuka mulut lagi dan lagi. Saya cuba mengubah tabiat. Membaca juga setiap buku walaupun hanya menyelak beberapa mukasurat yang berminat. Mahu mengkaji banyak lagi perkara yang perlu diutamakan.


CUTI SEKOLAH

Sekarang musim cuti. Musim cuti bukannya bermakna musim relaks. Musim rehat jauh sekali. Saya sahaja yang sempat bercuti di Medan bersama kelurga. Atas jemputan ayah juga(huhuhu kalau ayah tak jemput/ajak pun, saya tetap nak ikut!) . Kebetulan saya tiada program luar. Selalunya waktu cuti saya akan lesap. Lesap daripada pandangan keluarga sahaja. Saya sudah merancang planner bulan 2 yang padat. Cuma cuti raya cina ini sahajalah waktu terbaik bersama keluarga. Selebihnya…. Hurm…. Musim cuti dan buku? Saya sempat meyelak beberapa lembar Kitab Kembara Seorang Abid sepanjang perjalanan ke Medan. Menjenguk-jenguk buku di Shopping Complex di Medan? Oh! Saya punya peluang untuk hilang seperti selalu ketika membeli belah bersama keluarga sekiranya berada di Malaysia. Tapi di Medan…? Saya tidak mahu ambil risiko. Sudahnya saya sempat mengambil keratan surat khabar Indonesia daripada Adi Si pemandu pelancong. Juga majalah pelancongan Inside Sumatera yang saya ambil dari Garuda Hotel.

HUTANG TUGASAN

Saya sebenarnya perlu melangsaikan beberapa perkara. Assignment yang meminta saya hadam dan habiskan. Kepala yang sarat dengan tugasan-tugasan. Program di awal bulan 2. Pembubaran BKS dan perjalanan gerak kerja di Bumi Bainun. Banyak lagi yang tertangguh. 3 Hari di Medan tidak menjernihkan fikiran saya malahan terus-terusan memikirkan. Beberapa hari yang tinggal menuntut saya lebih bersedia.

Saya akan ceritakan tentang Medan dan Danau Toba kemudian. Saya tengah mencuri mencari masa untuk UPDATE blog ini. Nampak kosong dan berterabur. Mungkin saya perlu mujahadahkan diri dalam istiqamah menulis dan menulis. Mahu juga saya menjejaki impian ddan cita-cita yang telah lama menggebu-gebu. Harapannya saya tidak hangat-hangat tahi ayam. Insyaallah.

P/S: ISTIQAMAH MENULIS…. MATA PENA ITU LEBIH TAJAM DARIPADA MATA PEDANG!

Tuesday, January 18, 2011

DOA SAHABAT

Sesungguhnya amat bermakna jika kita dihadiahkan seorang sahabat yang sama-sama dapat membantu, menolong kita untuk melaksanakan tuntutan agama. Kebaikan dirinya kita tumpangi, kesalahan kita diteguri dan sama-sama menyebarkan kebenaran. Jadilah sahabat yang setia menanggung susah demi sahabatnya yang lain, jangan menyusahkan mereka. Itulah sebaik-baiknya.

Saya doakan sahabat-sahabat yang kurang sihat. SYAFAKILLAH..
Ku doakan kalian sihat dan berbahagia..
doakan diri kerdil ini juga...